Pangkat dan darjat: hargailah jika mahu dihargai

Kehidupan Tari Basir 22-Sep-2020
Des Amis musulmans réunis se saluent contents
Hargailah jika mahu dihargai © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Daripada Nabi Muhammad SAW, Abu Hurairah r.a melaporkan:

“Nabi Muhammad SAW mencium Al-Hassan bin Ali r.a dan Al-Aqra’ bin Habis At-Tamimi duduk di sisinya. Berkatalah Al-Aqra’: “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak dan aku tidak mencium mereka walaupun seorang”. Baginda melihat dirinya dan bersabda: “Barangsiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

(Muttafaqun ‘alaih)

Sesungguhnya, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada hadis Nabi Muhammad SAW ini meskipun ia dilafazkan baginda secara ringkas. Antaranya ialah sekiranya seseorang itu mahu memperolehi sesuatu, maka dirinyalah yang lebih dahulu harus melakukannya.

Lebih-lebih lagi jika seseorang itu mahu memperolehi sesuatu daripada seseorang yang lain. Maka, dirinyalah yang lebih dahulu harus melakukannya kepada seseorang yang lain itu tadi.

Penghargaan antara perasaan terindah di dunia

Dalam dunia ini, sudah tentu tidak ada seseorang pun yang tidak mahu dihargai. Menerima penghargaan daripada orang lain, terutamanya setelah bersusah payah melakukan pelbagai perkara untuk dirinya, merupakan antara perasaan yang terindah di dunia.

Lebih-lebih lagi jika penghargaan tersebut diraih daripada insan yang sangat disayangi seperti keluarga. Segala pengorbanan dan penat jerih yang terhasil demi merealisasikan sesuatu untuk seseorang akan hilang begitu sahaja. Meskipun ia terkumpul dalam waktu yang lama, apabila ia dihargai oleh seseorang itu tadi.

Sebagai contoh, segala pengorbanan dan penat jerih seorang ibu akan hilang apabila anak-anaknya menghargai dirinya. Si ibu itu tadi akan merasakan segala penat lelahnya berbaloi. Malah, sanggup untuk berpenat lelah untuk kali yang seterusnya kerana merasakan dirinya dihargai oleh anak-anaknya yang menyayangi dirinya.

Namun, ada perkara penting yang perlu diperhatikan di sebalik hadis Nabi Muhammad SAW itu tadi. Ini adalah tidak semestinya sesuatu penghargaan itu hanya terbit daripada seseorang yang lebih rendah darjat atau taraf kedudukannya, kepada seseorang yang lebih tinggi darjat atau pangkatnya.

Tidak semestinya hanya anak yang menghargai ibu bapanya, hanya murid yang menghargai gurunya, hanya isteri yang menghargai suaminya, hanya pekerja yang menghargai majikannya atau hanya rakyat yang menghargai pemimpinnya.

Melalui hadis tadi, Nabi Muhammad SAW selaku seseorang yang memiliki taraf kedudukan atau pangkat yang lebih tinggi iaitu datuk, mencium Al-Hassan bin Ali r.a selaku seseorang yang memiliki pangkat yang lebih rendah iaitu cucu.

Menghargai semua orang walau setinggi mana darjat dunia

Ciuman yang diberikan oleh seorang datuk kepada cucunya merupakan simbol penghargaan seseorang yang memiliki taraf yang lebih tinggi kepada seseorang yang memiliki taraf yang lebih rendah.

Betapa indahnya ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW berkenaan penghargaan. Khususnya kepada mereka yang berpangkat lebih tinggi seperti ibu bapa, guru, suami, majikan, pemimpin dan sebagainya.

Mutakhir ini, dunia sering disajikan berita-berita mengenai keluhan anak, murid, isteri, pekerja dan rakyat yang tidak dihargai, walaupun pelbagai usaha yang telah dicurahkan demi memuaskan hati dan menggembirakan hati ibu bapa, guru, suami, majikan dan pemimpin mereka.

Apalah salahnya jika mereka diberikan sedikit penghargaan, walaupun sekadar ucapan terima kasih? Adakah gugur taraf yang lebih tinggi jika menghargai mereka yang bertaraf lebih rendah?

Lalu ramailah golongan yang berpangkat lebih tinggi mengeluh, marah dan kecewa apabila mereka tidak dihargai golongan yang berpangkat lebih rendah, sedangkan mereka sendiri tidak berbuat perkara yang sama.

Maka mulai hari ini, mulalah menghargai semua orang walau setinggi mana darjat atau pangkat yang diraih. Jika mahu dihargai orang lain, maka hargailah orang lain dahulu. Bukanlah ‘Tidak akan hilang bisa ular menyusur akar?’