Pasangan pertama sah bernikah dalam talian

Agama Hafiz Firdaus 20-Apr-2020
Sah akad nikah dalam talian sewaktu COVID-19 © Ariffruslan | Dreamstime.com

Pasangan pengantin pertama di Malaysia telah bernikah secara dalam talian, menerusi sidang video pada hujung minggu lepas. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah melaksanakan majlis akad nikah antara Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, masing-masing 29, dan disempurnakan dengan sekali lafaz.

Secara asasnya, rukun nikah memerlukan adanya pihak suami, isteri, wali dan saksi, bersama dengan lafaz akad, maka sahlah  perkahwinan di sisi Islam. Upacara pertama seumpamanya itu dilakukan susulan kekangan pergerakan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berkuatkuasa bermula 18 Mac lalu. Usaha baik sebegini terus dapat membantu masyarakat dalam menangani dan memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Majlis berlangsung di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, dan di rumah  pengantin lelaki di Setiawangsa. Bapa Nahdatul Aishah, Mohd Sharif Khamis telah mewalikan pernikahan anaknya. Upacara pernikahan telah disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail melalui Facebook Berita Al Hijrah.

Menurut Zulkifli, majlis diadakan selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh JAWI pada 17 April lalu. Ia memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi kebenaran berkahwin. Dan berkenaan dengan perlaksanaannya, JAWI membenarkan akad nikah secara sidang video, berdasarkan garis panduan dan borang permohonan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Sahibul Fadhillah Mual Suaud berkata, masyarakat Muslim seharusnya perlu berlapang dada sepanjang tempoh PKP, dan bersifat toleransi serta memahami keadaan semasa. Negeri-negeri di Malaysia telah mengeluarkan fatwa tentang keharusannya dan JAKIM juga telah mengeluarkan garis panduan perlaksanaannya. Maka sepatutnya tidak timbul persoalan tentang upacara Walimatulurus diadakan dalam tempoh PKP secara dalam talian.

Bekas Mufti Negeri Perlis, Datuk Mursyid Di Raja Dr. Juanda Jaya juga menyokong inisiatif JAWI yang membuktikan bahawa pelaksanaan ajaran agama Islam itu terbukti boleh selari dengan pelbagai situasi. Paling penting, amalan keagamaan itu terus dapat dilaksanakan. Garis panduan haruslah diutamakan ketika berdepan dengan keadaan semasa yang membataskan perancangan serta pergerakan seperti sekarang.