Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Pasar Besar Siti Khadijah

Masyarakat 07 Feb 2021
Pilihan
Pasar Besar Siti Khadijah
Pasar Besar Siti Khadijah © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Sekiranya anda pernah ke negeri Kelantan Darul Naim yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negara Thailand.  Di tengah-tengah jantung bandar Kota Bharu, terdapat sebuah pasar besar empat tingkat yang menjual pelbagai barangan basah dan kering.

Pasar ini unik. Ia kerana hampir kesemua para peniaga terdiri daripada usahawan wanita.

Pasar Besar Siti Khadijah

Pasar ini digelar Pasar Besar Siti Khadijah, sempena mengambil kekuatan dan kewibawaan isteri Rasulullah SAW yang bijak berurus niaga iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a (Ummul Mukminin). Wanita pertama yang beriman serta menyatakan bahawa Allah SWT itu satu dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT.

Dirasmikan oleh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan.  Pasar ini asalnya bernama Pasar Besar Buluh Kubu.  Namun ia telah ditukar kepada nama Pasar Besar Siti Khadijah sebagai penghormatan kepada kaum wanita oleh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Pasar empat tingkat dan berbentuk segi lapan, tingkat bawah khusus untuk barangan basah.  Anda boleh mendapatkan ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat satu pula terdapat pelbagai barangan makanan kering.  Antara yang popular adalah Serunding, sejenis makanan Kelantan yang sentiasa dibeli sebagai buah tangan oleh pengunjung.

Sekiranya anda teringin makan makanan istimewa Kelantan, anda boleh datang ke Pasar Besar Siti Khadijah.  Pelbagai makanan daripada Ayam Percik, Ikan Percik, Nasi Kerabu, Nasi Berlauk, Nasi Dagang, Laksam dan Somtam ada di sini.

Anda pasti rambang mata untuk memilih kerana ia merupakan antara makanan yang paling digemari di Kelantan. Bagi peminat makanan manis, aneka kueh tradisional turut dijual.  Antaranya kuih Tahi Itik, Akok, Jala Mas, Buah Tanjung, Serabe, Tepung Pelita dan pelbagai lagi. Manakala tingkat dua dan tiga, untuk barangan bukan makanan.

Jika kita telusuri sirah, Khadijah r.a adalah model usahawan wanita unggul sebelum zaman kenabian.  Khadijah mempunyai rangkaian perniagaan yang luas. Rasulullah SAW juga pernah mengurus perniagaan beliau semasa di Syam dan memperoleh keuntungan yang besar. Bahkan, Baginda turut membimbing wanita yang ingin berniaga.

Wanita-wanita yang berniaga selain Khadijah r.a

Selain Khadijah r.a, ramai wanita pada zaman itu yang terlibat dalam bidang perniagaan. Antaranya seperti Al-Haula al-Attarah, Mulaykah dan Ummu al-Munzir.  Menurut Ibn Hajar,  al-Haula al-Attarah merupakan peniaga minyak wangi di Madinah.

Manakala Mulaykah (ibu kepada al-Saib ibn al-Aqra’) pernah menjual minyak wangi kepada Rasulullah SAW.  Ibn Sa’d ketika menghuraikan tentang Ummu al-Munzir menyebut bahawa beliau merupakan peniaga tamar di pasar Ukkaz.

Selain itu, wanita turut menceburi bidang industri pembuatan kecil. Ibn Sa’d berkata Raytah Ibn Abdullah merupakan wanita kreatif dalam pembuatan hasil tangan.  Hasil tangan tersebut kemudian dijadikan modal perniagaan.

Manakala Zainab binti Jahsh antara wanita yang melakukan kerja-kerja berkaitan perusahaan kecil dan sederhana.  Zainab menguruskan kerja-kerja pembersihan kulit binatang serta melakukan kerja-kerja jahitan.

Hasil perniagaan beliau disumbang ke jalan Allah SWT.  Dalam bidang ternakan, Ibn al-Athir menyatakan bahawa Salamah al-Dabbiyyah terlibat dalam perusahaan ternakan kambing untuk menyara keluarga.

Meskipun wanita dibenarkan untuk melakukan pekerjaan atau menjalankan perniagaan, anda masih perlu menjaga maruah dan aurat serta tidak terkeluar daripada landasan syariat Islam.