Pasar Mini Elewsmart

Kehidupan Abi Aasim 20-Sep-2020
ElewsMart
Pasar mini Elewsmart © elewsmart.com.my

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nama Ustaz Ebit Lew sangat mendapat perhatian. Kesungguhan pendakwah bebas ini menyumbang dan membantu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama mendapat liputan meluas.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh pendakwah bebas dan pakar motivasi itu tidak terhenti di situ sahaja. Dalam diam-diam rupanya beliau sibuk merancang pembukaan beberapa pasar mini yang diberi nama Elewsmart. Perancangan awal beliau adalah membuka 10 cawangan pasar mini Elewsmart di sekitar Lembah Klang secara berperingkat.

Tujuan beliau membuka rangkaian pasar mini adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan. Pelbagai barangan di sini ditawarkan pada harga yang sangat murah terutamanya pada hari pembukaan dan 2 bulan selepas pembukaan setiap cawangan.

Menariknya setiap cawangan pasar mini Elewsmart menyediakan bank makanan di luar premis. Bank makanan ini bertujuan menyediakan barang keperluan runcit bagi mereka yang benar-benar memerlukan. Bank makanan ini diletakkan dengan barang-barang keperluan runcit setiap hari. Bank makanan yang disedikan ini turut dilengkapi dengan motto dalam bahasa Inggeris ‘Take what you need, give what you can.’

Menurut Ustaz Ebit, beliau berharap tiada pihak yang menyalahgunakan bank makanan yang disediakan pihak pasar mini Elewsmart. Tambah beliau lagi biarlah orang-orangyang benar-benar memerlukan sahaja yang mendapat manfaat dari bank makanan tersebut.

Semua 10 cawangan pasar mini Elewsmart kini sudah dibuka dan beroperasi untuk orang ramai. Rangkaian pasar mini Elewsmart ini terletak di Bandar baru Bangi, TTDI Grove Kajang, Cyberjaya, Dataran Perniagaan Cheras, Prima Sri Gombak, Batu Caves, Plaza KLTS, Gombak, Dataran Villa Putra, sungai Buloh, Pelangi Square, Petaling jaya, Seksyen 22 Shah Alam dan Taman Subang Perdana Shah Alam.

Pasar mini Elewsmart terkenal dengan cogan kata, ‘Saudaraku, Murah’. Pembukaan rangkaian pasar mini Elewsmart ini telah membuka peluang pekerjaan kepada ramai rakyat tempatan. Hasil usaha Ustaz Ebit ini jelas membantu membangunkan ekonomi negara Malaysia secara umum dan membangunkana ekonomi umat Islam secara khususnya.

Gerak kerja Ustaz Ebit dan pasukannya sememangnya menaikkan nama Islam di kalangan masyarakat Malaysia. Semoga rangkaian pasar mini Elewsmart berdiri teguh dan dapat mengembangkan cawangannya ke seluruh Malaysia. Saudaraku, Murah!