Pasca-PKP perlu tindakan bersama yang mantap dan berterusan

Dunia Adea Ghafar 04-Mei-2020
Kawalan kendiri perangi COVID-19 © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Ancaman wabak COVID-19 tidak akan berakhir selagi vaksin belum dijumpai. Tetapi kesediaan untuk bertindak dan menghadapi cabaran yang muncul telah ditunjukkan dengan baik ke arah mengubah keadaan wabak yang melanda di mana-mana negara.

Kajian berdasarkan model epidemiologi oleh Khazanah Research Institute (KRI) mengatakan bahawa semenjak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, Malaysia telah mencapai puncak 2.434 kes aktif dan 80 kematian pada 9 April 2020. Ia dijangka akan menurun kepada 1,553 kes aktif pada 12 Mei 2020 bila PKP berakhir.

Pada jam 12 tengah hari pada 3 Mei, Malaysia telah mencatatkan sejumlah 6,298 kes, di mana 4,413 orang telah pulih, dan 105 daripadanya telah meninggal dunia. Intervensi PKP telah berjaya melambatkan penularan COVID-19 berdasarkan gelombang kedua kes aktif di Malaysia telah memuncak, dan kini mengalami penurunan yang perlahan tetapi stabil.

Walau bagaimanapun, langkah-langkap kesihatan awam dan PKP bukanlah penyelesaian jangka panjang kerana kesannya yang tidak memihak kepada pembangunan ekonomi. Oleh itu, PKP perlu berakhir sementara langkah-langkah intervensi kesihatan awam yang lain dipertingkatkan untuk mengurangkan penyebaran.

Malaysia kini telah beralih ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) , di mana sebahagian besar sektor ekonomi dibenarkan beroperasi kerana kes-kes telah menurun dengan hanya 30% kapasiti sistem kesihatan yang digunakan.

Yang perlu diperhatikan sejak awal wabak berlaku, menanganinya memerlukan fasa ‘tukul’ atau langkah-langkah serius bagi melandaikan keluk COVID-19. Ini diikuti dengan fasa ‘tarian’, iaitu pelonggaran sekatan diimbangi oleh intervensi kesihatan awam bagi memastikan penurunan penularan yang berterusan.

Model KRI adalah berdasarkan kemungkinan mempertahankan kejayaan meratakan keluk semasa PKP, tetapi ia memerlukan komitmen penuh dan usaha bersama untuk terus memelihara tindakan pencegahan selepas PKP. Komunikasi dan interaksi berterusan dengan masyarakat untuk menerapkan amalan terbaik kesihatan awam pasca-PKP adalah sangat penting.

Penerusan usaha-usaha mengasingkan individu yang dijangkiti dan pengurangan jangkitan baru melalui penerapan amalan-amalan pencegahan akan dapat menghindarkan kita daripada tsunami COVID-19 yang mungkin berulang, di mana langkah-langkah yang serius mungkin akan diperlukan lagi.

Kajian ini juga menyentuh perlunya kerjasama semua orang, bermula dari perubahan tingkah laku pencegahan seperti pemakaian topeng dan penjarakan fizikal yang berterusan, sehingga peningkatan ujian dan kuarantin bagi individu-individu yang dijangkiti. Tindakan bersama ini sangat penting dan setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing.

Kajian KRI ini dijalankan oleh timbalan pengarah penyelidikan KRI, Aidonna Jan Ayub dan Gregory Ho Wai Son, dengan kerjasama Khayriyyah Mohd Hanafiah dan Muhammad Hafiz Wan Rosli dari Universiti Sains Malaysia (USM).