‘Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku’ Tiup Semangat Patriotisme

Setiap kali menjelangnya Hari Kemerdekaan, satu lagu yang pasti terngiang-ngiang di telinga dan terbayang di fikiran kita adalah tidak lain dan tidak bukan lagu nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, ‘Tanggal 31’.

Lirik lagu yang menceritakan mengenai kemerdekaan negara yang disambut pada tarikh 31 Ogos itu sememangnya bukan sahaja mempunyai irama yang mampu menaikkan semangat kita, malahan mudah untuk diingati dan meniti di bibir sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.

Saban tahun, pelbagai lagu patriotik telah dihasilkan dan dinyanyikan oleh ramai penyanyi.

Ada antaranya yang dirakamkan tanpa melibatkan nilai komersial artis dan dijadikan lagu patriotik untuk apa-apa acara seperti ‘Keranamu Malaysia’, ‘Setia’, ‘Sejehtera Malaysia’ dan ‘Kemegahan Negaraku’.

Ada juga yang dirakamkan oleh penyanyi-penyanyi popular seperti ‘Saya Anak Malaysia’ (Dr. Sam), ‘Bahtera Merdeka’ (Aishah), ‘Standing In The Eye Of The World’ (Ella), ‘Gemuruh’ (Faizal Tahir), ‘Negaraku’ (Faizal Tahir, Joe Flizzow, Atlimet dan SonaOne) dan banyak lagi.

Kesemua lagu patriotik ini mempunyai lirik yang mampu meniupkan rasa cinta akan negara dan irama yang mampu menaikkan rasa semangat kita sebagai anak Malaysia.

Sehubungan itu, bagi menyemarakan lagi semangat sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) dengan kerjasama NAV Karaoke Keluarga melancarkan sebuah album single patriotik yang berjudul ‘Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku’.

Lagu hasil ciptaan Broth Rem dan lirik oleh Ezra Rahman Harith serta susunan muzik oleh Burn Crossfire itu dinyanyikan oleh 10 penyanyi daripada latar belakang berbeza iaitu Baggio Damasutra, Reshma AF, Winnie K, Yana Yusoff, Thalia Rasul, Natasha Sass, Zairul, Amir Aswady, Radhi Khalid dan Lobo Pangs.

Bagi Baggio, beliau berasa teruja kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dengan ramai penyanyi lain dariapada pelbagai latar belakang dan kaum dalam lagu tersebut memandangkan beliau ialah penyangi yang paling ‘veteran’ antara kesemuanya.

“Lagu ini amat sedap didengar. Liriknya mudah, namun menarik dan catchy.

“Saya berharap lagu ini akan diterima baik oleh semua rakyat Malaysia dan mampu menjadi salah satu lagu patriotik yang hits dan diminati ramai,” ujar bekas penyanyi kumpulan Damasutra ini.

Sementara itu, bagi Winnie pula, lagu ‘Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku’ sememangnya mampu menaikkan semangat cinta akan negara sebagai rakyat Malaysia.

“Sebelum ini, saya banyak menyanyikan lagu pop, dan ini merupakan kali pertama saya merekodkan lagu patriotik.

“Perasaannya sama sekali tidak sama dengan menyanyikan lagu pop, kerana apabila dengar sahaja lagu ini, semangat saya terus berkobar-kobar dan perasaan cinta akan negara itu menyusup masuk ke dalam jiwa,” jelasnya.

Lebih menarik, klip video lagu ‘Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku’ turut dimasukkan ke dalam carta lagu di kesemua pusat Karaoke Keluarga NAV di seluruh negara.

Selain itu, ia juga boleh ditonton di laman YouTube dan didengari di corong-corong radio.

Foto: Jon Ramlan

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Lagu hasil ciptaan Broth Rem dan lirik oleh Ezra Rahman Harith serta susunan muzik oleh Burn Crossfire itu dinyanyikan oleh 10 penyanyi daripada latar belakang berbeza iaitu Baggio Damasutra, Reshma AF, Winnie K, Yana Yusoff, Thalia Rasul, Natasha Sass, Zairul, Amir Aswady, Radhi Khalid dan Lobo Pangs.