‘Pawana Isabella’ Tampil Pelakon dan Dekorasi Hebat

Pawana Isabella, pementasan yang kini sedang rancak di pentaskan di Istana Budaya mempertaruhkan Janna Nick dan Syafiq Kyle sebagai teraju utama. Biarpun masih mentah dalam dunia teater, Janna Nick dan Syafiq Kyle layak diberi pujian kerana masing-masing berjaya menjiwai watak dengan baik.

Siapa sangka Janna Nick mampu membuka langkah silat demi menghidupkan watak Permaisuri Isabella yang kasihkan rakyat jelatanya, Malayu Aksara. Janna membuktikan dia boleh memainkan watak yang cukup matang dan serius.

Begitu juga dengan Syafiq Kyle, pelakon yang sinonim dengan watak-watak romantik ini melakon Raja Al-Hasiq Ghibran , seorang pemerintah yang sangat kasihkan rakyat jelata.

Mendengarkan dialog yang dilafazkan, pasti membuatkan anda kagum dan tertanya-tanya, bagaimana Syafiq mampu menghafal skrip yang panjang berjela? Ternyata teater ini berjaya mempertontonkan sisi berbeza Syafiq Kyle.

Selain dua teraju utama ini, lakonan Azar Azmi sebagai Permaisuri Tishaku juga mencuri perhatian. Peserta Dewi Remaja 2009/10 ini langsung tidak terlihat kekok di pentas. Dengan tingkah-laku menjengkelkan, Azar mengundang perasan benci di kalangan penonton.

Satu lagi kehebatan Pawana Isabella adalah ia mempersembahkan dekorasi prop dan busana yang cukup hebat. Bukan sekali dua teraju utama menukar busana, tetapi berkali-kali.

Persalinan untuk Syafiq, Janna dan Azar kelihatan mewah-mewah belaka dan ia berjaya menonjolkan kemewahan yang dimiliki pemerintah Melayu pada zaman dahulu.

Secara keseluruhan, teater yang dipentaskan sempena bulan Merdeka ini berbaloi untuk ditonton, lebih-lebih lagi jika anda memiliki semangat patriotik yang tinggi.

Namun, peringatan awal harus diberikan, dengan pengucapan dialog yang panjang-panjang, teater ini mengambil masa sehingga tiga jam.  Bagi yang tidak gemarkan naskah berat, Pawana Isabela bukan untuk anda.

 

Teater arahan Erma Fatima ini menceritakan kisah keunggulan serta kejatuhan kerajaan Malayu Aksara di bawah naungan Raja Al-Hasiq Ghibran dan Permaisuri Isabella. Malayu Aksara merupakan sebuah negara yang rakyatnya hidup di dalam keselesaan dan kemewahan, namun mereka tidak pernah berasa syukur.

Raja Al-Hasiq Ghibran  sentiasa mencari jalan untuk memberikan keselesaan kepada rakyatnya sehingga menjadikan mereka malas dan manja. Tanpa mereka sedari, negara Barouk telah menghantar jentera bagi menguasai Malayu. Agenda mereka mudah dilaksana memandangkan rakyat dan pemimpin Malayu Aksara mudah dipecah-belahkan.

Permaisuri Isabella adalah penyelamat kepada kerajaan Malayu Aksara. Dia sanggup menyamar sebagai rakyat jelata bagi melihat sendiri kemelut yang sedang dihadapi.

Teater Pawana Isabella akan dipentaskan di Istana Budaya sehingga esok, 31 Ogos 2019. Selain Syafiq Kyle, Janna Nick dan Azar Azmi, teater ini turut dibintangi oleh Johan Raja Lawak, Ozlynn Waty, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Ziela Jalil, Shahronizam, Jay Iswazir dan Anas Ridzuan.

 

Tiket-tiket boleh dibeli di kaunter Box-Office Istana Budaya dengan harga RM48 hingga RM188.

Kredit foto : Produksi Pawana Isabella