PdPR: adakah punya pilihan lain?

Pendidikan Tari Basir
Pendapat oleh Tari Basir
PdPR: adakah punya pilihan lain?
PdPR: adakah punya pilihan lain? © Pongpipat Yatra | Dreamstime.com

Norma baharu umpama makanan laut yang harus dimakan oleh lelaki yang alergi terhadapnya. Dirinya terdampar di lautan selama beberapa hari tanpa ada satu pun makanan yang boleh dimakan melainkan makanan laut.

Jika dia tidak memakan makanan laut tersebut, dirinya akan kelaparan. Jika makan, kesan sampingan akan diterima hasil alerginya.Kedua-duanya mendatangkan kesan yang buruk terhadap lelaki itu. Namun, bezanya ialah mana satukah kesan buruk yang lebih ringan daripada kesan buruk yang satu lagi.

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

Itulah konsep norma baharu. Sesuatu kesan buruk yang lebih ringan perlu diterima asalkan impak buruk yang jauh lebih buruk dapat dielakkan. Ia sememangnya pilihan berat, namun tidak ada pilihan lain.

Mutakhir ini, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan bagi mengatasi masalah penjarakan sosial di sekolah. Sehingga memaksa jutaan sekolah terpaksa ditutup. Pelbagai reaksi telah diberikan oleh ibu bapa khususnya terhadap norma baharu PdPR ini. Ada yang bersetuju dan rata-ratanya membangkang.

Namun, persoalan yang perlu menjadi titik perbincangan utama ialah: “Adakah ada pilihan yang lebih baik lagi selain PdPR?”

Kelemahan PdPR

Terdapat dua kelemahan utama PdPR. Pertama, ibu bapa tidak dapat memberi komitmen dalam memantau anak-anak terutamanya mereka yang masih kecil. Kedua, masalah medium pembelajaran seperti jaringan internet yang tidak baik. Ini termasuk kekurangan peralatan seperti telefon bimbit atau komputer riba.

Kelemahan ini mampu menjadi barah yang melumpuhkan pendidikan norma baharu. Iaitu sekiranya ibu bapa terlalu sibuk dan juga bilangan anak yang ramai, di mana mereka terpaksa berkongsi peralatan yang terhad.

Dua kelemahan ini dilihat sukar untuk diatasi. Apatah lagi bagi keluarga yang berpendapatan rendah dan berada dalam kancah kemiskinan. Kerana itulah, sekiranya PdPR hanya berfokuskan kepada konsep pembelajaran atas talian semata-mata, maka para pelajar yang datang daripada latar belakang keluarga sedemikian akan ketinggalan.

Cara mengatasi kelemahan PdPR

Dalam ancaman pandemik virus COVID-19 yang masih mengganas tanpa mengenal had umur, penjarakan sosial perlu diberi perhatian kerana virus ini umpama bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa sahaja.

Namun, banyak perkara telah diubah usai bagi memastikan PdPR boleh dilakukan dengan jayanya. Ia merupakan hasil pelbagai kajian yang datang daripada cadangan ibu bapa dan para guru.

Sebagai contoh, PdPR dilakukan separuh atas talian dan separuh manual. Separuh secara manual seperti ibu bapa menghantar kerja sekolah anak mereka ke pondok pengawal untuk diambil para guru, atau para guru menghantar video pengajaran kepada ibu bapa.

Penyesuaian ini sememangnya tidak mampu memuaskan hati semua pihak, namun sekurangnya peratusan para pelajar yang tercicir ketika pandemik ini dapat dikurangkan. Proses PdPR secara separuh atas talian dan separuh manual ini dilihat lebih baik berbanding pergantungan seratus peratus terhadap pembelajaran atas talian.

Adakah punya pilihan lain selain PdPR?

Selain itu juga, tidak dapat dinafikan ibu bapa perlu berusaha memainkan peranan mereka dalam menyokong PdPR ini. Perbincangan perlu dilakukan sesama suami isteri, juga majikan perlu memainkan peranan mereka agar ibu bapa boleh memberi komitmen terhadap keberlangsungan PdPR.

Jadi, adakah pilihan lain selain PdPR? Sudah tentu tidak! Selagimana tiada kepastian daripada pakar terhadap risiko pembelajaran secara normal dan bersemuka, selagi itu tidak ada pilihan lain selain daripada PdPR.

Namun apa yang paling penting, ibu bapa, guru dan badan berautoriti perlu berganding bahu dan jangan menunding jari antara sesama mereka.