Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

PdPR: Lahirnya guru dan pelajar alaf baharu

Pendidikan 03 Feb 2021
Pendapat oleh Tari Basir
PdPR: Lahirnya guru dan pelajar alaf baharu
PdPR: Lahirnya guru dan pelajar alaf baharu © Griangraf | Dreamstime.com

Pandemik COVID-19 dilihat masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda surut, jauh sekali virus ini akan berjaya diatasi. Meskipun para saintis bertungkus-lumus memerahkan otak dan keringat dalam menghasilkan vaksin yang terbaik, namun ia tetap memakan masa yang lama.

Semakin hari, majoriti masyarakat global terkesan dengan pandemik ini. Jika tidak terkesan secara fizikal dan kesihatan, mental pula yang tertekan.

PdPR: Lahirnya guru dan pelajar alaf baharu

Walaupun mereka kini telah terbiasa dengan norma baharu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hasil kebolehan manusia yang mampu beradaptasi, namun bukan semua yang mampu kembali menggapai kehidupan yang stabil.

Namun, sekeping syiling mempunyai dua muka yang berbeza. Bermakna, tetap adanya hikmah dan kebaikan yang positif di sebalik musibah ini. Adaptasi yang berlaku mungkin menghasilkan inovasi, sehingga akhirnya mampu merealisasikan sesuatu yang baharu.

Dalam landskap pendidikan misalnya, norma baharu yang berlaku mungkin berjaya mencipta para guru dan pelajar alaf baharu, yang telah terbiasa dengan pendidikan serba moden menggantikan pendidikan tradisional sekian lama.

Kekreatifan guru tanpa sempadan

Para guru sememangnya terkenal dengan kekreatifan dan kebolehan mereka yang serba boleh. Asalkan mereka punya sokongan secara dana dan mental, tiada apa pun yang tidak boleh mereka realisasikan walaupun di luar daripada bidang pendidikan.

Namun, bukan semua guru celik teknologi atau IT. Masih ada lagi sebahagian guru yang terbiasa dengan pendidikan tradisional dan tidak menggunakan elemen teknologi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Walau bagaimanapun, dengan penjarakan sosial yang berlaku dan penutupan sekolah, para guru tidak ada pilihan selain terpaksa bereksperimentasi dengan jutaan tekonologi dan aplikasi yang sedia ada.

Perkara ini lebih tampak cabarannya bagi para guru yang mengajar kanak-kanak kecil seperti peringkat tadika mahupun peringkat sekolah rendah. Apatah lagi bagi kanak-kanak kecil yang baru sahaja bertatih ke destinasi pendidikan, dan perlu dihidangkan dengan gaya PdP yang menarik lagi menyeronokkan.

Pelajar generasi baharu

Mencabar atau tidak, itulah kepahitan hakikat yang perlu ditelan oleh para guru. Namun, dengan semangat juang para guru dan cinta mereka terhadap dunia pendidikan, tiada apa yang mampu menghalang mereka.

Pandemik sememangnya memberi kesan terhadap para pelajar. Penjarakan sosial memaksa mereka untuk tinggal di rumah, dan berhadapan dengan cabaran teknologi seperti televisyen, internet, gajet dan sebagainya.

Bagi mereka yang mengambil peperiksaan awam, atau mahasiswa pengajian tinggi, pandemik ini sedikit sebanyak menguji mental mereka. Apatah lagi jika mereka terpaksa berhadapan dengan jaringan internet yang lemah atau kekurangan alatan gajet, terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar atau berada dalam keluarga berpendapatan rendah.

Namun, bagi mereka yang betul-betul mahu belajar, tiada apa yang mustahil. Tidak hairanlah ada yang sanggup meredah hutan belantara, memanjat bukit dan lain-lain demi meraih suapan jaringan internet yang baik.

Berjalan ke hadapan

Hanya para pelajar yang betul-betul menyedari hakikat ini sahajalah yang mampu menghadapi norma baharu ini, seterusnya beradaptasi dengan baik. Selain daripada menyokong usaha keras guru-guru mereka, para pelajar berpeluang meneroka bermacam jenis aplikasi pendidikan yang ada dan memanfaatkannya.

Perkara ini menyebabkan mereka kini lebih celik IT, dan mampu mengaplikasinya dalam gaya pendidikan mereka. Suka atau tidak, para guru dan pelajar tidak punya pilihan melainkan meneruskan langkah mereka ke hadapan.

Namun, adaptasi ini perlahan-lahan akan melahirkan generasi guru dan pelajar yang serba boleh dan kompeten, terutamanya dalam adaptasi IT dalam dunia pendidikan.