PDRM FA jamin masalah tunggakan gaji tidak berulang musim ini

Sukan Adea Ghafar 25-Jan-2020
Persatuan Bolasepak PDRM
Persatuan Bolasepak PDRM By Source, Fair use, Link

Pengurus Pasukan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA), Datuk Khalil Azlan Chik memaklumkan bahawa Persatuan Bolasepak PDRM telah memberi jaminan tidak akan berlaku lagi tunggakan gaji yang melibatkan pemain dan pegawai pasukan tahun ini. Pihak pengurusan pasukan ‘The Cops’ sedang mencari penaja bagi Liga Super musim ini, dan suntikan dana daripada syarikat telekomunikasi redONE Network Sdn Bhd akan mampu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung.

Khalil yang juga Ketua Pasukan Penyiasat Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Bukit Aman menekankan tentang perbelanjaan berhemat pasukan yang harus mengikut belanjawan yang telah dipersetujui oleh ahli majlis PDRM FA. Beliau ditemui di sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), selepas menyaksikan Setiausaha Kehormat PDRM FA, ACP Zulkefly Yahya menandatangani perjanjian penajaan selama setahun dengan redONE Network yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farid Yunus. Timbalan Ketua Polis, Datuk Mazlan Mansor yang juga presiden PDRM FA turut hadir.

Menyentuh tentang masalah tunggakan gaji, Zulkefly yang juga Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur berkata, mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dilaporkan mencapai RM1 juta melalui jadual pembayaran secara berperingkat bermula sebelum 31 Januari. Hampir 90% pemain telah bersetuju dengan proses bayaran tunggakan, kecuali beberapa pemain import yang telah kembali ke negara masing-masing.

Pengurusan pasukan PDRM FA telah menyasarkan pencapaian lima pasukan terbaik pada musim ini. PDRM FA juga melantik bekas pemain 90-an Terengganu, Mohamad Ishak Kunju Mohamad sebagai pengurus pasukan, dan ‘The Cops’ akan menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai lokasi utama. Berkenaan kuota pemain import, PDRM FA telah merekrut dua pemain import dari Korea Selatan, sementara kebanyakan pemain pasukan akan diwakili oleh anggota polis sendiri.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah pun memberi amaran kepada PDRM, Melaka dan Kelantan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain masing-masing sebelum 31 Mac, atau bakal menghadapi penyingkiran dari Liga Malaysia.