Peka dan empati, ahli parlimen Britain berpuasa untuk fahami Muslim

Dunia Adea Ghafar 28-Apr-2020
Percubaan berpuasa © twitter.com/paulbristow79

Paul Bristow, ahli parlimen Peterborough bagi parti Konservatif Britain telah mengumumkan bahawa dia akan berpuasa pada minggu pertama bulan Ramadan untuk lebih memahami erti bulan suci ini dan mengetahui tentang amalan Muslim seluruh dunia pada bulan ini.

Menerusi videonya di Twitter, Paul berpendapat Ramadan adalah masa untuk refleksi rohani, memperbaiki diri dan beribadah dengan lebih banyak. Beliau bukan seorang Muslim namun merasakan adalah penting untuk berkongsi pengalaman ini dengan kira-kira 20,000 orang Islam yang tinggal di kawasan perwakilannya di Peterborough, England.

Tambah beliau kepada Peterborough Telegraph, kaum Muslim berpuasa kerana mematuhi agama mereka, bukan hanya peraturannya. Namun mesej disiplin diri, pengorbanan, dan empati terhadap yang kurang bernasib baik dapat disampaikan kepada semua orang. Kemurahan hati tidak mengira batas agama.

Paul berharap dapat belajar lebih banyak mengenai Islam, di samping dapat mengenali diri sendiri dengan lebih baik. Walaupun ini akan menguji kekuatan mental dan disiplinnya, ia juga akan melibatkan pentingnya erti persahabatan yang erat.

Pada hari ketiganya, beliau telah merakamkan diari video harian, atau vlog, yang merakam pengalamannya berpuasa yang dikongsi di laman webnya dan juga di Twitter. Semoga ini akan memberi faedah dalam membawa Ramadan kepada orang lain yang seperti saya, belum pernah mengalaminya.

Bulan suci Ramadan telah bermula Jumaat minggu lepas di bawah pelbagai langkah keselamatan ketat bagi mengekang wabak koronavirus baru COVID-19. Ini termasuk  penutupan masjid-masjid di United Kingdom (UK) dan di kebanyakan negara-negara Islam.

Majlis Muslim Britain telah mengeluarkan garis panduan kepada umat Islam di UK mengenai bagaimana untuk menghadapi Ramadan tahun ini. Sekitar 3 juta orang Muslim di UK yang berpuasa terus kekal tinggal di rumah untuk mengelakkan penyebaran virus COVID-19.