Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Peka dan prihatin dengan masa

Masyarakat 13 Jul 2020
Uruskan masa anda dengan baik © Tanu2534 | Dreamstime.com

Firman Allah SWT dalam surah Al-Asr, ayat 1-3:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Masa lalu, kini dan akan datang

Masa merupakan sumber harta yang paling berharga. Kehilangan harta benda masih boleh diganti. Hilang masa sudah tentu tidak boleh diganti semula. Masa yang makin berlalu bermakna kehidupan kita di duni ajuga sudah semakin singkat.

Masa terbahagi kepada tiga iaitu masa yang telah berlalu, masa kini dan masa yang akan datang. Bagi masa yang telah berlalu, biarlah menjadi sejarah dan kenangan serta pengajaran berguna buat kita. Untuk masa kini, ia perlu dihadapai dengan penuh ketabahan. Masa depan adalah impian untuk dikecapi.

Setiap orang mendapat peruntukan masa 24 jam sehari semalam. Masa adalah amanah Allah SWT yang penting. Oleh itu, manfaatkannya dengan pelbagai perkara yang berguna.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 18:

”Wahai orang-orang yang beriman, buatlah perhitungan untuk merentasi hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kamu kepada Allah dan ingatlah sesungguhnya Allah akan memperhitungkan segala yang kamu kerjakan.”

Kepentingan masa dalam kehidupan Islam juga memang tidak dapat dinafikan. Sebahagian besar amal ibadat umat Islam berkaitan dengan masa. Solat fardu dan sunat telah ditetapkan waktu-waktunya. Begitu juga dengan ibadah puasa, korban serta haji dan umrah.

Rebut lima masa sebelum datang lima masa

Rasulullah SAW bersabda:

“Rebutlah lima masa sebelum datang lima masa yang lain. Masa hidupmu sebelum matimu, masa sihatmu sebelum sakitmu. Masa lapangmu sebelum sibukmu, masa mudamu sebelum tuamu dan masa kayamu sebelum miskinmu.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Zaman teknologi ini dengan kehadiran pelbagai gajet yang canggih telah menyebabkan pengurusan masa kebanyakan individu berkecamuk. Teknologi terbaru seperti telefon pintar banyak melalaikan dan membuang masa pengguna.

Sekiranya pengurusan masa tidak dijaga sebaiknya, maka pelbagai perkara negatif boleh berlaku dan antaranya ialah:

  • Membazir banyak masa yang berfaedah
  • Menjadi tidak produktif
  • Menjadi cemas dan bimbang
  • Gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada masa yang ditetapkan

Oleh itu, pengurusan masa yang berhemah perlulah dipraktikkan. Disiplin dan pengurusan masa yang efektif harus diterapkan di dalam diri anak-anak sewaktu mereka masih kecil. Ibu bapa perlu memberikan contoh mengurus masa dengan baik kepada anak-anak.

Maksud surah al-Asr yang telah dikongsikan pada awal artikel ini mengajar kita untuk peka dan prihatin dengan masa agar kita mengisinya dengan sebaik mungkin. Semoga kita semua beroleh kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Aamin.