Pekan Bandar Diraja pertahan tradisi ledak meriam ketika Ramadan

Budaya Syed Safri 28-Apr-2020
Meriam Bandar Di Raja Pekan © https://www.facebook.com/kawanpekan

Bagi penduduk Pahang di Pekan Bandar Diraja, tradisi meledak meriam yang mengumumkan waktu berbuka puasa setiap hari di bulan Ramadan terus dijalankan, termasuk ketika musim COVID-19. Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Mohd Razli Mohd Yusof, meriam itu dilancarkan untuk mengumumkan waktu berbuka puasa semenjak lama dahulu. Ketika itu ramai orang tinggal jauh dari masjid dan tiada radio untuk mengetahui tibanya masuk waktu solat Maghrib.

Dua meriam buatan Jerman, Bavaria Gun M 635, masing-masing dengan berat 415 kg, digunakan secara bergantian apabila menembak, tradisi yang telah dilakukan selama lebih dari 40 tahun. Bunyi ledakan meriam dapat didengar sejauh satu kilometer.

Dahulu, meriam ini dihalakan ke arah Istana Abu Bakar kerana telah menjadi tradisi membedil meriam untuk mengumumkan waktu berbuka puasa kepada Sultan Pahang yang tinggal di istana. Sekarang, tentunya telah ada laungan azan, yang juga disiarkan melalui radio dan televisyen.

Menurut Razli, empat anggota dari gudang senjata ibu pejabat polis Pekan telah ditugaskan untuk melepaskan bedilan meriam. Selain bedilan meriam sebanyak satu kali untuk mengumumkan waktu berbuka, dua bedilan diperlukan untuk mengumumkan permulaan puasa Ramadan dan tarikh Aidilfitri, yang dilakukan sebaik sahaja pengumuman oleh Penyimpan Mohor Raja-Raja.

Razli menambah, ujian biasanya dilakukan seminggu sebelum awal Ramadan untuk memastikan bahawa meriam dalam keadaan baik. Kedua meriam  itu juga akan diservis setelah pengumuman Aidilfitri dan disimpan untuk digunakan pada tahun berikutnya.

Sementara itu, Koperal Mohd Zahri Ab Rahman, yang telah menguruskan meriam tersebut sejak tahun 2003 mengatakan, pasukannya akan membuat persiapan selama 10 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib. Kemudian, meriam akan ditembak sebelum anggota pasukannya berbuka puasa. Dua anggota pasukan bergilir-gilir melepaskan ledakan meriam setiap petang.

Menurut Mohd Zahri, tugas ini telah diarahkan oleh pegawai yang lampau supaya masyarakat setempat tidak terlambat apabila berbuka puasa. Tugas ini juga hanya mengambil masa beberapa saat dan para petugas terlibat tidak akan terlambat untuk berbuka puasa.