Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Pekerjaan dalam Islam: ikhlas kerana Allah SWT

Keluarga 08 Nov 2020
Pekerjaan dalam Islam
Pekerjaan dalam Islam © - Dreamstime.com

Pekerjaan dalam Islam: ikhlas kerana Allah SWT – bekerja adalah kegiatan yang sangat dituntut dalam Islam. Malahan banyak ayat al-Quran yang menyuruh kita bekerja sebagai sumber rezeki untuk menanggung kehidupan sama ada untuk diri sendiri, keluarga atau membantu orang yang memerlukan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad); Bekerjalah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah at-Taubah, ayat 105)

Pekerjaan dalam Islam: ikhlas kerana Allah SWT

Pekerjaan boleh diertikan sebagai sesuatu yang dilakukan secara berterusan kerana mencari nafkah (Kamus Dewan). Islam menggalakkan umatnya bekerja demi menampung keperluan diri supaya tidak meminta-minta kepada orang lain.  Islam amat membenci umatnya yang meminta-minta, mengemis dan mengharapkan ehsan orang.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak ada orang yang memakan makanan yang paling baik melebihi apa yang diperolehinya dari titik peluhnya sendiri.  Sesungguhnya Nabi Daud memakan hasil titik peluhnya sendiri.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Mencari sesuatu yang halal menjadi suatu kefarduan selepas melakukan perkara fardu.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT menetapkan setiap amalan yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana-Nya dan tidak melanggar syariat yang ditetapkan oleh agama Islam.  Begitu juga apabila kita bekerja, hendaklah diniatkan kerana Allah  selain untuk memperoleh al-falah di dunia dan di akhirat.  Ia dikira  sebagai ibadah dan mendapat keredaan-Nya.

Ramai kalangan kita bekerja kerana mengejar matlamat duniawi.  Matlamat ini tidak salah selagi ia dipayungi dengan niat untuk mencapai keredaan Allah SWT di dalam bekerja.  Tujuan utama bekerja inilah yang membezakan pengurusan bekerja dalam Islam berbanding Barat.

Mengharap reda Allah SWT sebagai matlamat utama

Dunia Barat terlalu mengejar material. Memaksium produktiviti, kualiti dan keuntungan sehingga tercetus teori Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara sebagai prinsip dan pegangan hidup.

Apabila kita bekerja semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama, kita pasti akan memperoleh kepuasan di dunia  mahupun di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata, dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hamba-Nya.”

(Surah al-Baqarah, ayat 2017)

Sekiranya pekerjaan yang kita lakukan adalah demi keredaan Allah SWT, ia akan memberi implikasi kepada diri.  Kita berasa lebih tenang, berpuas hati, tidak gelisah atau bosan.

Tidak terasa memikul beban yang berat serta tidak merasakan matlamat bekerja sukar dicapai.  Sesungguhnya apa yang kita rasai itu adalah ganjaran paling besar yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang  sentiasa melakukan pekerjaan hanya kerana Allah SWT.

Amalan yang boleh dilakukan  apabila keluar rumah, bacalah doa yang bermaksud:  ‘Dengan nama Allah, aku bertawakal dengan Allah dan tiada daya dan upaya kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Agung.’  Niatlah untuk bekerja ikhlas kerana Allah SWT dan bekerjalah bersungguh-sungguh.

Terus berusaha untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan jujur, amanah dan tidak menyalahguna jawatan. Tidak terbabit dengan pekerjaan haram atau syubhah, tidak melakukan perbuatan dosa dan mungkar, bersyukur dan bersedekah dan tidak menjadikan alasan bekerja untuk tidak beribadat.