Pelaburan Berlandaskan Islam

Suka Nor Syariza Tahir 30-Mei-2019

Agama Islam menitikberatkan keperluan asasi manusia seperti yang dinyatakan dalam Maqasid Shariah iaitu ‘Memelihara Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta’.

Lime elemen ini dititikberatkan dan dipertanggungjawabkan kepada setiap manusia, selaku khalifah di muka bumi ini untuk menjaganya dengan sebaik mungkin.

Salah satu daripada elemennya iaitu menjaga harta adalah antara perkara yang sering diabaikan oleh kita atau tidak memeliharanya dengan cara yang betul.

Disebabkan itulah, muncul kemaslahatan seperti muflis, jatuh miskin, kerugian sejumlah wang yang besar, kehilangan aset dan banyak lagi yang disebabkan kegagalan seseorang itu untuk menjaga hartanya sebaik mungkin.

Instrumen Kewangan Islam Patuh Shariah

Pada masa kini, negara kita dilihat sebagai hab bagi kewangan Islam yang sangat berkembang pantas dan bergerak maju ke hadapan.

Seiring dengan penawaran lebih banyak produk-produk kewangan Islam patuh Shariah, ia memudahkan umat Islam untuk memelihara harta mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam.

Misalnya, jika anda ingin membuka akaun bank, bukalah akaun patuh Shariah. Jika anda ingin membuat pelaburan unit amanah, pilihlah produk pelaburan patuh Shariah. Jika anda ingin membeli saham, belilah saham-saham daripada syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan secara patuh Shariah. Jika anda ingin membuat pelaburan insurans, pilihla produk takaful, dan bukannya insurans konvensional.

Dari aspek simpanan wang, pelaburan, takaful sehinggalah kepada pembiayaan modal perniagaan, semuanya mampu disediakan oleh sistem kewangan Islam.

Pilihan-pilihan ini semestinya memberi kelegaan kepada umat Islam kerana tiada lagi istilah ‘darurat’ atau terpaksa melanggan produk kewangan konvensional akibat ketiadaan produk patuh Shariah di pasaran.

Pelaburan Patuh Shariah

Rasulullah S.A.W. telah menegaskan bahawa perniagaan merupakan satu kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan.” (Hadith Ibnu Abi Dunya).

Salah satu bentuk perniagaan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat pada hari ini adalah pelaburan.

Menerusi pelaburan, umat Islam bukan sahaja dapat melipatgandakan harta atau wang yang mereka ada untuk manfaat diri sendiri dan keluaga, malahan dapat menyumbang kepada pembangunan ummah, masyarakat dan negara.

Pelbagai jenis pelaburan ditawarkan di pasaran negara ini, antaranya pelaburan di bank dan koperasi, pelaburan amanah saham seperti Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kewangan lain seperti PMB Investment, pelaburan Tabung Haji, pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelaburan hartanah, pembelian saham-saham di Bursa Malaysia, pelaburan takaful dan pelaburan emas.

Kepelbagaian produk pelaburan patuh Shariah ini memberi kelebihan kepada umat Islam untuk memilih bukan sahaja produk yang terbaik, malahan yang lebih penting adalah tiada rasa was-was, sekali gus membawa keberkatan kepada hasil pelaburan itu kelak.

PMB Investment

Salah satu daripada syarikat pengurusan dana Islam yang menawarkan produk pelaburan dana unit amanah adalah PMB Investment Bhd. (PMB Investment), yang merupakan anak syarikat Pelaburan Mara Bhd.

Sehingga kini, ia menguruskan 15 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.

Bagi menarik minat lebih ramai pelabur runcit, yakni orang ramai untuk melabur dalam produk-produk unit amanahnya, PMB Investment memperkukuhkan saluran pengedarannya menerusi ejen-ejen perunding unit amanah serta agensi di seluruh negara.

Menurut salah seorang Pengurus Agensinya, Mimi Kamil, dengan trek rekod konsisten PMB Investment iaitu pulangan dua digit dalam tempoh lima tahun, ia menjadikan produk pelaburan itu diterima baik dalam kalangan pelanggan.

“Bagaimanapun, kami mendapati masih kurang kesedaran mengenai kepentingan produk pelaburan terutamanya dalam kalangan generasi milenial.

“Disebabkan itu, kami komited untuk memberi kesedaran dan mendidik golongan ini mengenai ciri-ciri dan kepentingan pelaburan seumpama ini untuk masa depan mereka.

“Ini kerana produk seumpama ini bukan sahaja dapat memberikan pulangan berganda kepada kita pada tahun-tahun berikutnya,malahan dapat menjadi simpanan ketika waktu persaraan kita nanti,” ujarnya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Amir Hakim Azmi yang juga merupakan salah seorang Pengurus Agensi PMB Investment, rakyat Malaysia terutamanya umat Islam perlu mempunyai beberapa akaun pelaburan.

“Dengan keadaan ekonomi pada masa kini, sekadar satu akaun pelaburan tidak mencukupi kerana kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi hari-hari akan datang.

“Bagi generasi muda terutamanya, yang belum mempunyai sebarang produk pelaburan, tidak mengapa jika memulakannya secara beransur-ansur atau dengan kadar sedikit terlebih dahulu.

“Apabila sudah semakin faham dan kedudukan kewangan semakin stabil, mereka boleh melabur dengan kuantiti yang lebih banyak bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi,” jelasnya.

Tambahnya yang baru berumur 26 tahun ini, meskipun tiada paksaan untuk umat Islam melanggan produk pelaburan patuh Shariah, namun kesedaran itu perlu ada dalam diri masing-masing untuk melanggan hanya produk yang patuh Shariah.

“Sesetengah orang berpendapat mereka mahukan pulangan yang lebih tinggi dengan melabur dalam produk pelaburan konvensional.

“Namun, jangan sesekali lupa bahawa sebagai orang Islam, adalah penting untuk mempunyai keberkatan dalam pelaburan kita itu kerana ia akan menjadi harta kita dan keberkatan dalam harta adalah tuntutan agama,” katanya.

Foto: PMB Investment, Austin Distel, Markus Spiske, Bayu & Nathan Dumlao (Unsplash)