Pelaburan diluluskan 2019 – RM207.9 bilion dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama

Perniagaan Syed Safri 21-Apr-2020
Pelaburan diluluskan 2019 meningkat © Daniil Peshkov | Dreamstime.com

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Malaysia memulakan 2020 dengan lima projek pembuatan dan perkhidmatan bernilai RM4.6 bilion. Keutamaan kini ialah untuk membawa masuk pelaburan bernilai tambah tinggi yang dapat membantu memulihkan ekonomi.

Walaupun pandemik COVID-19 telah mengubah sistem perindustrian global, MITI komited untuk memastikan agar Malaysia terus kekal sebagai lokasi mesra pelaburan jangka panjang. Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah aliran modal jangka panjang dan di harap syarikat asing akan terus bertahan dan mengekalkan pelaburan di Malaysia.

Dalam konteks yang sama bagi 2019, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengatakan, pelaburan diluluskan FDI telah meningkat kepada RM82.4 bilion, manakala Pelaburan Langsung Domestik (DDI) memberi sumbangan terbesar dengan jumlah 60.4% atau RM125.5 bilion.

Pada keseluruhan 2019, Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM207.9 bilion dalam sektor perkhidmatan, sektor perkilangan dan sektor utama. Sektor perkhidmatan mengetuai jumlah pelaburan dengan 4,087 projek bernilai RM118.1 bilion. Ini diikuti oleh sektor perkilangan dengan nilai RM82.7 bilion, dan RM7 bilion untuk sektor utama.

Gabungan tiga negara penyumbang terbesar bagi tiga sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama ini (66.3%) adalah Amerika Syarikat (RM26.8 bilion), China (RM15.7 bilion) dan Jepun (RM12.1 bilion). Sementara itu, empat negeri penyumbang terbesar, iaitu lebih dari 60% ialah Selangor (RM47.8 bilion), Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

Tiga penyumbang pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah harta tanah (RM40.9 bilion), utiliti (RM32.6 bilion) dan organisasi global (RM11.8 bilion). Di sektor perkilangan, FDI menyumbang 65.2% (RM53.9 bilion) dari jumlah pelaburan yang diluluskan, sementara selebihnya adalah DDI sebanyak 34.8% (RM28.8 bilion). China (RM15.3 bilion) adalah pelabur terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia. Selangor (RM17 bilion) adalah penerima terbesar dalam sektor perkilangan, diikuti oleh Pulau Pinang dan Kedah.

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7 bilion pada 2019, berbanding RM10.9 bilion pada 2018, dengan subsektor perlombongan menerajui sebahagian besar pelaburan, diikuti perladangan dan komoditi, dan pertanian.

Tiga industri berprestasi tinggi pada tahun 2019 terdiri daripada industri elektrik dan elektronik (RM25.7 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM10.8 bilion), dan teknologi pengangkutan (RM8.0 bilion).