Pelajar dan kaedah pembelajaran dalam talian

Pendidikan Zalika Adam 02-Okt-2020
dreamstime_s_199317291
Pelajar dan kaedah pembelajaran dalam talian © Sorrapong Apidech | Dreamstime.com

Pelajaran amat penting untuk menjamin masa hadapan kita. Banyak kaedah digunakan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, juga di sekolah-sekolah untuk menjamin kualiti pelajar.

Walaupun situasi pandemik COVID-19 melanda dunia, turut berlaku implikasi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara drastik daripada kebiasaannya. Rentetan pengumuman kerajaan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Pindaan P&P berlaku dengan beberapa kaedah baru dalam talian iaitu: kaedah penyampaian, aktiviti P&P, kaedah penilaian dan pentaksiran serta proses peperiksaan akhir semester bagi mencapai hasil pembelajaran (learning outcomes) yang telah dirangka dan kaedah perekodan kehadiran pelajar.

Norma baru ini banyak mengubah persepsi pelajar dan pengajar masa kini. Terdapat dua kaedah pembelajaran dalam talian (alam maya) iaitu:

Pengajaran dan pembelajaran segerak (synchronous)

Definasi: Iaitu pembelajaran pada masa sebenar (real-time). Pengajar dan pelajar boleh berkomunikasi dan bertemu secara maya pada masa yang sama, walaupun ketika berada di lokasi yang berlainan.

Kelebihan: Komunikasi berlaku secara langsung dan segala persoalan dapat dijawab secara spontan dan tidak tertangguh.

Kekurangan: Memerlukan capaian internet yang baik agar perkara yang ingin disampaikan jelas maksudnya.

Contoh aplikasi yang digunakan: Google Meet, Microsoft Teams, YouTube Live, Facebook Live, Zoom dan lain-lain.

Pengajaran dan pembelajaran tidak segerak (asynchronous)

Definasi: Iaitu pembelajaran tidak berlaku pada masa sebenar (real-time). Komunikasi di antara pengajar dan pelajar boleh berlaku pada masa yang  berbeza.

Kelebihan: Komunikasi boleh berlaku mengikut kesesuain masa pengajar dan pelajar. Komunikasi juga boleh berlaku walaupun dalam capaian internet yang kurang baik.

Kekurangan: Respon kepada persoalan dan kemusykilan mungkin tidak dapat diperoleh secara spontan.

Contoh aplikasi yang digunakan: Global Open Access Learning System (GOALS), WhatsApp, Telegram, YouTube, Facebook, Google Classroom.

Kedua-dua kaedah ini, dapat digunakan kepada para pelajar untuk memahami pelajaran yang diajarkan oleh tenaga pengajar di kelas. Pengajar bebas menggunakan mana-mana antara dua kaedah yang dinyatakan dengan memaklumkan kepada pelajar, supaya proses P&P dapat berjalan dengan baik.

Walaupun keadaan yang digunakan masih baru di Malaysia dan beberapa buah negara lain, namun melalui teknologi yang berkembang pesat, banyak membantu dalam penyampaian ilmu kepada pelajar.

Tidak dapat dinafikan, pada awal sesi P&P dalam talian, terdapat beberapa masalah teknikal yang timbul, seperti masalah internet yang kurang laju bergantung kepada tempat tinggal pelajar dan pengajar.

Namun, saban hari kaedah P&P mengikut norma baru telah menjadi kelaziman kepada semua yang terlibat. Justeru, kaedah baru ini perlu diterima oleh semua pihak untuk kelangsungan P&P.