Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Pelihara dan jangan menuruti amarah

Islam 01 Dis 2020
Pendapat
রাগ বা ক্রোধ
Pelihara dan jangan menuruti amarah © Palinchak | Dreamstime.com

Allah SWT menyifatkan antara sifat orang yang beriman dan bertawakal ialah apabila dia marah, dia akan segera memaafkan. Oleh itu, pelihara dan jangan menuruti amarah hati. Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.”

(Surah al-i ‘Imran, ayat 134)

Pelihara dan jangan menuruti amarah

Rasulullah SAW juga bersabda dalam salah satu hadis Baginda yang mahsyur yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

“Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.”

(Hadis riwayat Sahih al-Bukhari, 6116)

Sudah lumrah manusia, meskipun ramai faham akan maksud dan kesan amarah, namun anda masih tidak boleh bersabar.  Anda tetap melakukannya setiap kali diuji oleh Allah SWT dengan ujian, anda mengeluh dan marah-marah.  Ingatlah bahawa setiap ujian Allah seiring dengan kemampuan anda menghadapinya.

Banyak kaedah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya agar mengatasi sifat amarah.  Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk. Anda juga digalakkan mengambil wuduk, kerana sesungguhnya amarah itu datangnya daripada syaitan, yang dicipta daripada api.  Dan api hanya boleh dipadamkan dengan air.

Anda juga hendaklah mengelakkan diri daripada membuat keputusan besar ketika marah.  Mungkin dalam situasi marah, anda tidak dapat berfikir dengan baik.  Tenangkan diri dahulu kemudian baharulah buat keputusan.

Paling baik ialah diam.  Dalam keadaan marah, berdiam diri itu baik kerana apabila anda sedang marah, perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain.  Ia juga boleh jadi akan memberi ancaman kepada diri sendiri.

Pelihara amarah hati dengan diam

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.”

(Al-Adab al-Mufrad, 245)

Imam al-Ghazali menyebut bahawa manusia memiliki tiga elemen dalam diri yang tidak boleh lihat dengan mata kasar.  Ia adalah nafsu, akal dan hati.  Raja dalam diri adalah hati manakala akal pula penasihat kepada hati (raja). Nafsu pula akan mendorong kepada kejahatan kerana sifatnya yang tidak baik.

Justeru dalam menangani nafsu, maka perlunya sifat sabar. Lawan sifat sabar adalah marah. Manusia susah untuk mengawal kemarahan. Sebab itu sifat sabar begitu penting.  Sabar ada pelbagai jenis. Ia bukan sahaja sabar ketika menghadapi ujian, tetapi juga apabila berdepan dengan situasi yang boleh menyebabkan kita marah. Ia termasuklah ketika kita menunaikan ibadah seperti solat.

Apabila kita solat dengan sabar, kita dapat melakukan ibadah dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Begitulah juga ketika kita berdoa atau melakukan ibadah lain.  Sesungguhnya orang yang bersabar itu adalah orang yang sangat tenang di dunia.

Ujian yang datang dihadapi dengan tenang kerana apa yang berlaku akan tetap terjadi.  Semoga kita lulus setiap ujian Allah SWT untuk menjadi hamba-Nya yang benar-benar beriman dan bertakwa.