Peluang untuk berjaya ada pada semua

Islam Hagnas
Pendapat oleh Hagnas
Peluang untuk berjaya ada pada semua
Peluang untuk berjaya ada pada semua © Jittawit Tachakanjanapong | Dreamstime.com

Peluang untuk berjaya ada pada semua – kejayaan merupakan impian semua orang. Sebagai orang beriman, kejayaan sebenar ialah apabila dapat memasuki syurga Allah SWT dan dapat kenikmatan melihat wajah-Nya. Definisi kejayaan dalam hidup kita haruslah selari dengan kejayaan yang Islam inginkan.

Kejayaan dalam pelajaran tidak menafikan kejayaan kita dalam amalan solat misalnya. Allah SWT juga menyukai hamba-Nya yang melakukan sesuatu dengan itqan (tekun dan bersungguh).

Sifat-sifat mukmin yang berjaya

Dalam surah al-Mukminun (surah ke-23), Allah SWT menerangkan beberapa ciri seorang mukmin yang berjaya iaitu:

“Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;” (23:2)

“Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;” (23:3)

“Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);” (23:4)

“Dan mereka yang menjaga kehormatannya,-” (23:5)

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;” (23:8)

“Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;” (23:9)

“Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka;” (23:57)

“Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka;” (23:58)

“Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka;” (23:59)

“Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;” (23:60)

“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.” (23:61)”

Sifat-sifat ini juga merupakan sifat penghuni syurga. Kejayaan yang kita inginkan ialah kejayaan di dunia dan di akhirat.

Allah SWT beri peluang untuk berjaya kepada semua

Allah SWT menciptakan manusia di bumi. Mereka diuji untuk mengenal pasti siapa yang beriman dan siapa yang tidak beriman. Allah memberi peluang kepada kita untuk menjadi mukmin yang berjaya yang dapat memasuki syurga-Nya ataupun sebaliknya. Tuntutlah ilmu kemudian berusahalah untuk beramal.

Untuk berjaya dalam hidup, kita perlu ada impian. Tentukan impian yang ingin dicapai kemudian yakinlah bahawa kamu mampu menggapainya. Kita juga perlu berani menghadapi kegagalan.

Berapa ramai yang mencuba lagi dan lagi semata-mata untuk berjaya. Terimalah kritikan dengan berlapang dada dan cubalah perbaiki kesilapan. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal.

Pilihlah untuk berjaya. Pilihlah untuk beramal dengan apa yang Allah SWT perintah dan tinggalkanlah maksiat. Beruntunglah dan berjayalah orang yang menyucikan jiwanya.