Pembaziran sifar sebahagian normal baharu

Kehidupan Hanita Hassan 28-Mei-2020
Inilah kehidupan semasa normal baharu © Keechuan | Dreamstime.com

Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) mengenai gaya perbelanjaan masyarakat  dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 3 Mei lalu telah menunjukkan sesuatu yang positif. Kebanyakan perbelanjaan individu isi rumah hanya bertumpu kepada barangan keperluan dan penting sahaja.

Normal baharu yang berlaku berikutan penularan pandemik COVID-19 telah menjadikan kita lebih berhemah dan berhati-hati ketika berbelanja. Ini termasuklah ke atas perbelanjaan dan penggunaan individu seisi rumah  dalam membuat persediaan  Hari Raya Aidilfitri yang telah diraikan pada 24 Mei lalu.

Kajian mendapati perbelanjaan barangan makanan dan minuman meliputi bahan mentah masakan meningkat sebanyak 27% kepada purata RM924 per individu isi rumah berbanding RM726 sebelum penguatkuasaan PKP.

Ini kerana kebanyakan suri rumah memasak sendiri juadah berbuka meskipun khidmat penghantaran makanan seperti e-bazar muncul seperti cendawan selepas hujan sejak berlangsungnya PKP.  Kita hanya membeli barangan makanan yang perlu sahaja.

Perbelanjaan untuk pakaian dan peralatan rumah juga menyaksikan penurunan  iaitu  masing-masing  sebanyak 95% dan 58%.  Ini ditambah dengan larangan pergerakan rentas negeri yang tidak membenarkan umat Islam pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Aktiviti ziarah pula hanya dibenarkan pada 1 Syawal.  Jadi, tidak mustahil ada yang menggunakan baju lama yang masih elok untuk dipakai di pagi hari raya. Biasanya kita memperuntukkan bajet untuk dua atau tiga pasang baju raya.  Kali ini, kita hanya perlukan sepasang sahaja.

Begitu juga dengan duit raya yang disediakan dalam sampul raya kepada kanak-kanak.  Peruntukannya juga dijangka akan turut berkurang melihat kepada situasi yang berlaku hari ini.

Meskipun kerajaan membenarkan orang ramai melakukan aktiviti ekonomi dan sosial bermula 4 Mei dengan melonggarkan PKP kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masih ramai yang memilih kekal di rumah jika tiada kepentingan mendesak untuk keluar.

Rutin baharu juga menyaksikan kebanyakan daripada kita telah mula bekerja dari rumah. Mungkin dalam seminggu hanya tiga hari sahaja di pejabat, selebihnya bekerja dari rumah.

Ini juga menyaksikan penurunan drastik ke atas perbelanjaan pengangkutan awam dan persendirian iaitu sebanyak 89% daripada RM553 per individu isi rumah kepada RM61 berbanding sebelum PKP.

Perbelanjaan banyak terarah kepada pembelian barangan kesihatan seperti penutup hidung dan mulut serta produk sanitasi pencegah kuman.

Sesungguhnya tabiat yang ada dalam diri memerlukan masa yang panjang untuk berubah. Sebagai pengguna yang bijak, normal baharu ini boleh dijadikan  titik permulaan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Kita tidak tahu bilakah situasi pandemik COVID-19 ini akan bernoktah. Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan moratorium automatik selama enam bulan bagi semua pembayaran semula pinjaman dilihat berupaya meningkatkan kecairan bagi peminjam individu isi rumah.

Apabila  simpanan atau lebihan pendapatan boleh guna meningkat, maka kita bolehlah membuat perancangan kewangan semula.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya.”  (Surah al-Israa, ayat 27)