Pembelian barangan dalam talian berterusan

Suka Zalika Adam 08-Sep-2020
dreamstime_s_155082442
Pembelian dalam talian © Ahmad Hafiz Ismail | Dreamstime.com

Pembelian dalam talian menjadi trend baru bagi kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota. Namun, sudah menjadi tarikan juga bagi mereka yang tinggal di kampung. Keadaan menjadi mudah kerana pembeli tidak perlu keluar rumah, memadai memilih barangan keperluan di dalam talian. Ia mula berkembang semenjak penggunaan internet meningkat 10 tahun kebelakangan ini.

Norma baru ini lebih rancak berlaku, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19. Kini, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah disambung hingga ke akhir tahun 2020. Ini bermakna norma baru teknologi seperti ini akan terus berlanjutan.

Antara kemudahan yang diperoleh daripada pembelian dalam talian adalah seperti berikut:

  • Mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan raya dan di tempat membeli belah. Pada kebiasaannya, kita akan mencari parkir yang sesuai untuk meletakkan kenderaan di samping terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas
  • Barangan yang dibeli dijamin sampai di hadapan rumah. Penghantaran barangan yang dibeli akan sampai di hadapan rumah berdasarkan alamat yang dinyatakan
  • Menggunakan sistem bayaran dalam talian, tanpa perlu ke bank. Bayaran dalam talian memudahkan pembelian mengikut kadar keperluan harian
  • Tiada had masa ditentukan untuk membeli belah. Pada kebiasaanya, membeli belah di pasar raya perlu mengikut masa yang ditentukan, kebiasaanya seawal jam 10 pagi hingga 10 malam. Namun berbeza dengan pembelian dalam talian, ia tidak mengira masa pagi atau pun petang
  • Masa terluang dapat digunakan bersama-sama keluarga. Bagi ibu bapa yang bekerja, amat sukar meluangkan masa bersama anak-anak. Namun, dengan pembelian secara dalam talian ibu bapa yang bekerja dapat kerap bersama-anak-anak di rumah
  • Boleh memilih jenis barangan yang dikehendaki. Pembelian dalam talian memudahkan kita mencari barangan yang dikehendaki seperti barangan dapur, alat solek, pakaian, makanan dan minuman
  • Tidak mengira tempat. Pembelian dalam talian boleh dibuat di mana-mana sahaja anda berada tanpa mengira tempat. Ia memudahkan cara pembelian dilakukan

Walau pun pembelian dalam talian banyak positifnya, namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu dibaiki, antaranya:

  • Proses penghantaran barangan lambat. Sekiranya kita membeli belah di pasar raya, barangan akan terus dibawa pulang selepas membelinya. Namun, pembelian atas talian boleh melambatkan barangan untuk dimiliki
  • Berlaku kesilapan penghantaran barangan. Kadang kala berlakunya kesilapan penghantaran barangan. Kita perlu mengambil masa untuk menukar semula barangan yang dikehendaki dan menunggu barangan baru untuk sampai
  • Barangan tidak boleh dikembalikan. Kadangkala barangan yang dibeli secara dalam talian tidak boleh dipulangkan sekiranya pembeli ingin menukar barangan pembelian yang lain
  • Bebas membeli tanpa kawalan. Kemudahan pembelian secara dalam talian boleh menyebabkan kita membeli mengikut apa yang dilihat, kerana ianya lebih murah berbanding di pasar raya sedia ada. Tanpa disedari, kita berbelanja melebihi had kebiasaan

Justeru, sebagai seorang pembeli yang bijak, kita perlulah berbelanja secara hemah. Pembelian dalam talian merupakan kemudahan yang diperolehi untuk memiliki sesuatu barangan. Namun, kita perlulah membeli dengan berpada-pada mengikut keperluan.