Pemenang pingat Olimpik – Ibtihaj tidak jemu promosi Islam

Dunia Hanita Hassan 18-Okt-2020
dreamstime_s_75937510
Pemenang pingat Olimpik - Ibtihaj tidak jemu promosi Islam © Zhukovsky | Dreamstime.com

Amerika Syarikat adalah sebuah negara dengan pelbagai masalah dan salah satu isu paling besar adalah perkauman. Sebagai kaum kulit hitam di Amerika, golongan wanita dan umat Islam perlu menghadapi pelbagai halangan.

Apatah lagi sekiranya seseorang itu adalah seorang wanita Islam berkulit hitam, individu itu perlu mempunyai karektor sekeras besi untuk maju dan berjaya.  Itulah yang dilalui oleh saudari seislam kita iaitu Ibtihaj Muhammad.

Pemegang rekod, ahli lawan pedang terbaik generasinya

Dilahirkan pada 4 Disember 1985 di Maplewood, New Jersey, Ibtihaj Muhammad merupakan pemegang rekod dan salah seorang ahli lawan pedang terbaik generasi ini. Sebagai anggota pasukan lawan pedang Amerika Syarikat yang terbilang, beliau terkenal di seluruh dunia.

Ini kerana beliau merupakan wanita Muslim pertama Amerika yang memakai hijab sewaktu pertandingan di Olimpik. Prestasi ini dicapainya pada tahun 2016 semasa Sukan Olimpik Musim Panas (juga dikenali sebagai Rio 2016 atau Sukan Olimpik XXXI).

Dalam acara itu, Ibtihaj bukan sahaja memperlihatkan kebaikan Islam dan komposisi wanita Muslim yang baik, beliau juga telah menyerlahkan kehebatannya dalam pertandingan tersebut.  Beliau telah berjaya menggondol pingat gangsa dalam acara lawan pedang. Ini menjadikannya mencipta satu lagi rekod sebagai atlet Muslim Amerika pertama yang mendapat pingat di Olimpik, masya-Allah.

Kisah Ibtihaj Muhammad tidak lengkap tanpa menyebut tentang ibu bapanya. Mereka telah menunjukkan jalan kebenaran Islam kepadanya sejak kecil. Mereka juga mencarikan aktiviti sukan yang dapat disertainya tanpa perlu menanggalkan hijab.

Pada ketika dan negara di mana terdapat banyak isu mengenai Islamofobia dan diskriminasi terhadap orang kulit hitam dan umat Islam, ia merupakan satu langkah yang sangat berani.

Berhijab sejak kecil, mengejar cita-cita meskipun berhijab

Ibtihaj Muhammad telah terbiasa berhijab sejak kecil dan kekal apabila meningkat dewasa. Beliau secara khusus menyatakan bahawa semakin meningkat dewasa dan menceburi bidang sukan lawan pedang secara profesional, beliau tetap setia berhijab.

Salah satu sebab Ibtihaj melakukan ini adalah sebagai inspirasi kepada gadis-gadis muda dan wanita di seluruh dunia agar memecah rekod dan mengejar cita-cita dan kerjaya meskipun  memakai hijab. Alhamdulillah, pencapaiannya ini dengan izin Allah SWT menjadi simbol di seluruh dunia sebagai wanita Islam yang berjaya dengan menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.

Selain menjadi perintis wanita Muslim dalam acara sukan, Ibtihaj Muhammad juga  giat menjalankan aktiviti mempromosi Islam dan wanita. Beliau juga terkenal dengan suara lantang menyokong toleransi, kepelbagaian dan inklusif.

Dalam semua perkara, beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT atas semua kejayaan yang diperolehnya selama ini. Pelbagai pengajaran dan iktibar yang dapat dipelajari melalui kisah ini. Kita mampu mencapai apa sahaja yang kita mahu sebagai umat Islam selagi berpegang teguh kepada keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan bertawakkal kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.”

(Surah Al Ahzab, ayat 3)

Semoga Allah SWT mengurniakan kebaikan kepada Ibtihaj Muhammad sama ada di dunia mahupun di akhirat, aamin.