Pemerintahan Khalifah Abbasiyah dan ilmu geografi

Dunia Hanita Hassan 19-Okt-2020
dreamstime_s_31200417
Pemerintahan Khalifah Abbasiyah dan ilmu geografi © Wiktor Wojtas | Dreamstime.com

Pemerintahan Khalifah Abbasiyah dan ilmu geografi – semasa pemerintahan Khalifah Abbasiyah, bidang kebudayaan, peradaban dan kegiatan seni  Islam telah mencapai ke kemuncak paling tinggi. Zaman ini digelar zaman keemasan Islam.

Para cendekiawan di zaman kekhalifahan Abbasiyah telah  menyumbang dengan cemerlang kepada pembangunan tamadun manusia dengan mengumpul dan memelihara bahan-bahan tamadun kuno yang telah pupus. Mereka menjalankan penyelidikan asas dalam pelbagai bidang pengetahuan di bawah naungan Khalifah Abbasiyah.

Kepentingan ilmu geografi dan agama

Ilmu geografi dipraktikkan terutama bagi tujuan keagamaan pada zaman Abbasiyah. Khalifah Abbasiyah sedar akan kepentingan ilmu geografi atas pelbagai alasan agama termasuklah dalam menentukan arah kiblat serta menunaikan ibadah Haji. Inilah asas para cendekiawan mula dinaungi ketika zaman tersebut.

Bangsa Arab juga terlibat secara langsung dalam perdagangan maritim. Oleh kerana itu,  para pemimpinnya amat menekankan pengetahuan dalam bidang geografi. Penyelidikan terus dilakukan bagi menentukan latitud dan longitud bagi semua lokasi. Para sarjana Arab turut memberi sumbangan yang besar dalam pengembangan kompas dan teleskop pada masa itu.

Buku ahli geografi dan astrologi Ptolemy yang terkenal iaitu ‘Geography’ telah diterjemah ke dalam bahasa Arab. Al-Khindi memperolehi kemasyhuran yang istimewa kerana sumbangannya dalam karya ini.

Al-Khawarizmi telah menyusun sebuah buku dengan peta yang bernama Surat al-Ard dengan bantuan teks Yunani semasa pemerintahan Khalifah Mamun. Seramai 67 sarjana telah membantunya menyusun buku tersebut.

Ahli geografi Eropah percaya bahawa bumi adalah rata ketika itu. Walau bagaimanapun, ahli geografi Muslim telah berjaya membuktikan ukuran sebenar bumi. Mereka membuktikan bahawa bumi itu bulat.

Ahli geografi Muslim telah mengembara ke merata tempat bagi mengumpulkan maklumat berharga. Mereka mengembara ke pelbagai negara di Asia dan Eropah dalam tempoh itu. Mereka telah mengejutkan dunia apabila berjaya merakamkan semua maklumat berharga di dalam karya mereka.

Ahli-ahli geografi Muslim

Ahli geografi Muslim yang pertama adalah Ibnu Khordadbeh dari Parsi. Bukunya yang terkenal adalah ‘The Book of Roads and Kingdoms’ (Al Masalik wal Mamalik) yang diterbitkan pada tahun 846 Masehi. Beliau menceritakan dalam bukunya tentang masyarakat dan berbagai wilayah yang wujud semasa zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah.

Ibnu Khordadbeh juga melakarkan peta Asia Selatan dan menulis secara terperinci tentang perkara  berkaitan  tanah, masyarakat serta budaya di rantau tersebut. Beliau turut merakamkan tentang negara-negara seperti China, Korea dan Jepun di dalam karyanya. Beliau merupakan penulis Muslim pertama yang  mencatatkan tentang perdagangan Viking di Timur.

Al-Masudi telah diiktiraf sebagai salah seorang ahli geografi terbaik Islam. Beliau melakukan perjalanan di Asia, Zanzibar dan Afrika Utara pada abad ke-10 dan  menerbitkan sebuah buku yang mempunyai tiga puluh jilid berjudul ‘The Meadows of Gold’ (Muruj adh-dhahab), yang menggambarkan pengalaman perjalanannya. Beliau digelar Herodotus orang Arab. Al-Masudi juga merupakan orang pertama yang  banyak menemukan kajian dalam bidang sejarah dan geografi.

Al-Biruni memberi tumpuan tentang budaya, agama, sains dan kesusasteraan India dalam bukunya Kitabul Hind. Ibnu Battuta pula memberikan sumbangan yang cemerlang dalam bidang pengembaraan. Beliau mengumpulkan catatan yang terperinci mengenai perjalanannya ke negara-negara seperti Arab, China, Sinhala, Persia, Bangladesh, India dan Afrika Tengah selama tiga puluh tahun. Antara ahli geografi dan kartografer lain ialah al-Istakhri, Ibnu Hawqal dan al-Maqdisi.

Para penyelidik semasa Kerajaan Bani Abbasiyah telah menemui aspek geografi  baharu sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang penyelidikan. Malah perincian kajian yang dijalankan mereka telah dapat membantu para penyelidik  masa kini.