Pemimpin dan amanah

dreamstime_s_160877684
Pemimpin dan amanah © Alexey Novikov | Dreamstime.com

Pemimpin adalah orang yang memimpin, yang diiktiraf oleh lebih daripada seorang, yang berpengaruh, berwibawa serta mempunyai kuasa.  Seorang pemimpin perlu memahami dengan jelas tugas serta tanggungjawab sebagai pemimpin kepada orang yang dibimbingnya.

Pemimpin yang layak memimpin dan diredai Allah SWT adalah kalangan mereka yang sentiasa akur serta insaf bahawa setiap tindak-tanduk semasa memegang tampuk kepimpinan akan dipersoal di hadapan Allah di akhirat kelak.

Amanah pula dalam Islam adalah tuntutan iman.  Lawan sifatnya ialah khianat.  Sifat amanah ini akan menentukan baik buruk akhlak seseorang dalam urusan sehariannya.  Islam menuntut umatnya supaya berpegang dengan sifat amanah sehingga ia disebut di dalam al-quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

Benar amanah itu berat. Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perkara-perkara amanah. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya)

dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”  (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Tanggungjawab amanah itu amat berat sehingga langit dan bumi serta gunung-ganang yang besar sekali pun tidak sanggup mahu memikulnya.  Meskipun langit, bumi dan gunung-ganang secara pandangan kasar bentuk fizikalnya  besar berbanding manusia, namun manusia bersedia memikul amanah Allah sekalipun  serba serbi memiliki kelemahan dan kekurangan, yang suka berbuat zalim dan perkara sia-sia yang tidak sepatut dilakukan.

Beruntunglah mereka yang memegang amanah.  Dengan amanah, anda telah melaksana perintah Allah SWT dan Rasul-Nya dengan sebaik-baiknya. Contohilah sifat para Nabi dan Rasul yang sangat memelihara amanah.  Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya aku ini (Nabi Muhammad SAW) ialah Rasul yang amanah (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.  Oleh itu, takutlah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku.”  (Surah Asy-Syu’araa, ayat 107-108)

Dalam memilih pemimpin, perkara pertama yang perlu diteliti ialah kejujuran serta sifat amanah. Ini kerana urusan mentadbir dan mengurus sesebuah negeri atau negara memerlukan pemimpin yang amanah.  Pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding diri sendiri.

Justeru, laksanakan amanah yang dipikul ke atas kita dan usah dikhianatinya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepadamu dan janganlah kamu mengkhianati seseorang yang pernah mengkhianati kamu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Marilah kita menjaga dan melaksana segala amanah kita iaitu amanah  kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, amanah sebagai pemimpin, sebagai ayah, suami dan isteri, sebagai guru dan ustaz serta ustazah, ketua organisasi, ketua jabatan, ketua persatuan, imam, bilal, ketua kampung, pemimpin masyarakat, belia, ketua pelajar, tukang kebun, penternak, tukang sapu dan sebagainya.

“Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yang berbuat baik.”  (Surah At-Taubah, ayat 120)