Pemimpin Hamas tolak ‘Perjanjian Abad Ini’

Adea Ghafar 24-Jan-2020
Ismail Haniyya
Ismail Haniyya © Abed Rahim Khatib | Dreamstime.com

Pergerakan politik Hamas dan pemimpinnya, Ismael Haniyya menegaskan ketika ditemui di Putrajaya sempena lawatan pertamanya ke Malaysia, Hamas tidak akan menerima pelan damai Timur Tengah yang dijangka diumumkan menjelang lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Rumah Putih minggu depan. Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun perjanjian itu mempunyai beberapa sasaran dan elemen penting untuk menyelesaikan isu Palestin, ia turut menjejaskan hak enam juta pelarian Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka.

Beliau memberi jaminan tidak akan menerima perjanjian tersebut dan akan terus berusaha dengan rakan antarabangsa untuk menidakkannya. Hamas akan terus berjuang untuk membebaskan para banduan Palestin dari penjara Israel, meraih kebebasan dan kemerdekaan Palestin, menguruskan negara sendiri dan mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu negara menerusi kerjasama dengan rakan antarabangsa.

Pelan damai yang digelar ‘perjanjian abad ini’ cenderung memberi perlindungan politik penuh kepada Israel bagi merampas lebih banyak tanah dari Tebing Barat. Ia dapat meluaskan lagi rampasan penempatan oleh Israel sehingga ke tahap lebih 40%. Penduduk di Semenanjung Gaza pula bakal berdepan dengan masalah pengasingan politik, serangan tentera dan sekatan ekonomi yang sudah memasuki tahun ke-13.

Sementara itu, Hamas menetapkan empat keutamaan termasuk mengukuhkan kewujudan dan kesetiaan rakyat Palestin, meningkatkan komunikasi dengan jiran Arab dan negara lain, menyatukan rakyat Palestin menerusi permuafakatan Hamas dan Fatah serta mencapai perpaduan kebangsaan antara Tebing Barat dan Gaza. Walaupun Hamas menawarkan banyak konsesi dengan harapan membentuk kerajaan, majlis legislatif dan agenda kebangsaan sendiri, konflik Hamas-Fatah masih berterusan dan gagal mencapai persepakatan kebangsaan yang dikehendaki.

Haniyya mengucapkan penghargaan dan terima kasihnya kepada pihak kerajaan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia atas sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin. Pertemuannya dengan Perdana Menteri  telah mencapai banyak hasil dalam isu dua hala, politik dan kemanusiaan yang dihadapi Palestin akibat sekatan Israel di Semenanjung Gaza dan wilayah Tebing Barat.