Penangan Keenakan Kek Absolut Chocolat

Penangan kek jenama Absolut Chocolat keluaran Absolut Brands Sdn. Bhd. (Absolut Brands) yang diusahakan pasangan selebriti suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab ternyata bukanlah biasa-biasa.

Sejak diperkenalkan pada Februari tahun lalu, kek itu terus mencipta sensasi dan pengaruh tersendiri.

Hanya menggunakan Instagram sebagai promosi selain menggunapakai populariti rakan artis untuk turut mempromosikannya, kek itu pantas mencuri tumpuan ramai.

Malah pada festival Mood Republik baru-baru ini yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Jalan Duta, ia turut mencipta kejayaan serta fenomena membanggakan apabila lebih 13,000 kotak kek terjual dalam masa tiga hari.

“Habis licin. Sebanyak 13,000 kotak dalam masa tiga hari memang sesuatu yang cukup mengejutkan dan pada masa sama menjadi pencapaian serta kebanggaan peribadi kami.

“Untuk acara tiga hari itu juga kami berjaya memecah rekod peribadi jenama ini dengan mencatat keuntungan jualan kasar mencecah enam angka,” ujar Pengarah Urusan Absolut Brands, Ben Ali.

Bukan itu sahaja, bagi menyuntik kelainan, Absolut Brands turut melancarkan minuman Teh Susu Boba di bawah cabang perniagaan Absolut Brew pada festival berkenaan sebagai memberi variasi kepada produk dikeluarkan.

“Kami tidak boleh terus berada di zon selesa dengan produk yang sedia ada. Beberapa jenis produk makanan dan minuman dijangka dipasarkan pada masa akan datang,” jelasnya.

Kek coklat mula dikeluarkan pada Februari tahun lalu, dan pada bulan September, kek Milk Lava pula diperkenalkan kepada pelanggan.

Percaya bahawa pelanggan mudah bosan dengan jenis yang dijual, Ben dan Nadiyah bertekad memberikan variasi kepada para peminat kek Absolut Chocolat termasuklah dengan mengeluarkan produk minuman pula.

Bermula dengan operasi kecil-kecilan di gerai jualan hinggalah menyewa premis kedai dua tingkat di Cheras, Ben dan rakan kongsi yang juga isterinya, Nadiyah boleh tersenyum bangga kerana usaha mereka membuahkan hasil hingga menjadi terkenal.

“Bisnes ini semuanya bermula sebab kami mahu mencari duit lebih untuk berkahwin (November tahun lalu).

“Daripada sekadar suka-suka ingin mencari duit tambahan, siapa sangka minat kami terus bercambah untuk lebih serius dalam dunia perniagaan. Saya sendiri sebelum ini tidak yakin dengan perniagaan kek ini tetapi diyakinkan oleh isteri,” cerita Ben.

“Pernah pada fasa awal berniaga, saya dan isterilah yang tolong melakukan proses memasukkan kek ke dalam kotak. Malah, kami jugalah yang melakukan penghantaran kek terus kepada pelanggan.

“Daripada hari pertama mendapat tempahan awal hanya empat biji kek, ia bertambah hari demi hari. Daripada 10 hinggalah sampai 200 biji sehari kami sediakan,” ujarnya.

Ketika ini Absolut Chocolat terus rancak dipasarkan dengan pelbagai medium termasuk menggunakan ejen.

“Selepas menggunakan khidmat satu ejen untuk setiap negeri, kami mencuri peluang memasarkan kek menerusi stesen minyak seperti Petronas, Shell dan Petron. Bermula dengan dua buah stesen, kini sudah ada 100 buah stesen yang menjual kek ini di sekitar Lembah Klang.

“Kami juga merangka untuk mewujudkan hub di Johor, Kedah dan Terengganu bagi memantau jualan di stesen minyak di negeri berkenaan.

“Untuk tahun depan, kami menjangkakan untuk membuka kios di pusat beli belah utama termasuk KLCC dan Pavilion.

“Kami mahu menjadi usahawan Melayu Bumiputera pertama yang mengusahakan perniagaan sendiri tanpa bantuan mana mana pihak di pusat beli belah berkenaan,” cerita Ben yang turut menyasarkan untuk membawa jenama Absolut Chocolat ke pasaran luar negara.

Setakat ini, selain Absolut Chocolat, Absolut Brands turut menjalankan cabang perniagaan Absolut Brew, Absolut  Event dan Absolut Management.

 

Foto: Absolut Brands

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Malah pada festival Mood Republik baru-baru ini yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Jalan Duta, ia turut mencipta kejayaan serta fenomena membanggakan apabila lebih 13,000 kotak kek terjual dalam masa tiga hari.