Penawar setiap penyakit

Kehidupan Hanita Hassan 31-Okt-2020
dreamstime_s_160793605
Penawar setiap penyakit © Joe Trakul | Dreamstime.com

Setiap daripada kita tidak terlepas daripada menerima ujian Allah SWT.  Ujian biasanya datang dalam bentuk kesakitan, kesusahan, kematian dan sebagainya. Sebagai mukmin yang beriman, kita yakin dan percaya bahawa semua ujian yang dikirimkan Allah adalah berdasarkan tahap penerimaan seseorang.

Bersabar dan ingati Allah SWT apabila diuji

Ujian juga hadir untuk membersihkan dosa dan meningkatkan pahala serta amalan kita. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila kita diuji dengan sakit, hendaklah kita bersabar dan banyak mengingati Allah SWT. Semakin kita diuji dengan sakit semakin kita taat kepada-Nya.  Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk terus berusaha mencari ubat atau penawar yang halal dan bukan najis kerana ia mendekatkan kita ke jalan penawar yang dituliskan untuk penyakit itu.

Ramai kalangan kita yang apabila sakit takut berjumpa doktor sebaliknya memilih membeli ubat daripada kaunter farmasi, pasar raya, kedai kesihatan atau secara atas talian. Tidak dinafikan terdapat banyak jenis ubat di pasaran dan ia boleh dibeli dengan sangat mudah tanpa preskripsi doktor.

Dalam hal ini, merawat sendiri penyakit dan makan ubat tanpa nasihat doktor atau pakar perubatan sangat bahaya dan boleh mendatangkan kesan buruk sekiranya ubat yang dimakan itu tidak sesuai dengan diri anda.

Sekiranya anda mengalami beberapa tanda selepas makan ubat yang dibeli di farmasi, sama ada kembung perut, mulut kering, alahan, ruam, denyut jantung meningkat, sembelit, pening, rasa panas dan kesan lapar, segeralah berjumpa doktor.

Selain daripada membeli ubat di farmasi, ada juga yang merawat penyakit  menggunakan rawatan tradisional. Contohnya dengan mengamalkan pengambilan madu atau habbatussauda serta ginseng Cina.

Sebagai pesakit, anda jangan sekali-kali meninggalkan rawatan lain, saranan pakar, doktor atau perawat yang merawat anda. Mereka lebih mengetahui keadaan penyakit yang sedang anda alami.

Setiap penyakit ada ubatnya

Kajian mendapati kebanyakan masyarakat menggunakan ubat tradisional dan ubat sampingan seperti vitamin pelbagai dengan tujuan menjaga kesihatan, merawat selsema, demam dan sebagainya.

Pesakit yang sering membeli ubat sampingan adalah seperti pesakit asma, barah, diabetes dan hipertensi atau tekanan darah tinggi.  Bagaimanapun, kebanyakan ahli farmasi berdaftar mengakui menerima tanggungjawab profesional mereka dan peranan sebagai pendidik serta pembekal maklumat.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 5678)

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.”

(HR Ahmad, 12596; Syeikh Syu’aib al-Arna’out menilai hadis ini sebagai sahih li ghairihi)

Sesungguhnya setiap penyakit ada ubatnya. Justeru jangan sekali-kali berputus asa untuk mencari penawar kepada sakit yang sedang anda deritai.  Semoga Allah SWT menganugerahkan kita kesihatan yang baik supaya dapat kita melaksanakan ibadah kepada-Nya dengan penuh ketaatan dan kesempurnaan.