Penawar sihir daripada al-Quran dan hadis

Al-Quran Aimy Azhary
Pilihan oleh Aimy Azhary
Penawar sihir daripada al-Quran dan hadis
Penawar sihir daripada al-Quran dan hadis © Filindmitriy86 | Dreamstime.com

Sihir merupakan jenayah yang berat di sisi Islam dan dikira sebagai dosa besar. Segelintir umat Islam diuji oleh Allah Taala dengan menjadi mangsa kepada kezaliman tukang sihir.

Dan Islam sebagai sebuah agama yang penuh rahmat telah mengajarkan beberapa penawar sihir yang boleh didapati secara terus melalui al-Quran dan hadis.

Penawar sihir dalam al-Quran

Al-Quran mengandungi ubat dan penawar kepada semua kesulitan manusia, lebih-lebih lagi dalam perkara melibatkan alam ghaib seperti sihir. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

(Surah Al-Isra’, ayat 82)

Antara ayat-ayat yang mujarab dan sering digunakan oleh pakar perubatan Islam untuk mengubati sihir ialah ayat Kursi dan bahagian akhir bagi surah al-Baqarah. Begitu juga seperti surah al-Ikhlas dan Mu’awwizatain atau lebih dikenali masyarakat Malaysia sebagai ‘Tiga Qul’.

Selain itu, surah as-Saffat juga terbukti berkesan mengubati sihir. Ia dianggap mampu menyakiti jin yang membawa sihir tersebut lalu memaksanya untuk keluar dari tubuh badan seseorang.

Jangan dilupakan juga surah al-Fatihah yang digelar sebagai As-Sab’u Al-Mathani, yang bermaksud tujuh ayat puji-pujian kepada Allah SWT. Surah yang agung ini digalakkan untuk dibaca kepada orang yang sakit dan terkena sihir, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:

“Tidakkah kamu ketahui bahawa surah al-Fatihah adalah ruqyah?”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Penawar sihir daripada hadis

Terdapat juga beberapa hadis yang menceritakan perihal Nabi Muhammad SAW dalam mengubati sihir dan penyakit. Antara doa yang sering digunakan oleh Nabi SAW dan diriwayatkan oleh kebanyakan sahabat ialah:

اللَّهُمَّ ربَّ النَّاسِ ، أَذْهِب الْبَأسَ ، واشْفِ ، أَنْتَ الشَّافي لا شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ ، شِفاءً لا يُغَادِرُ سقَماً

“Ya Allah, Tuhan bagi manusia, hilanglah kesengsaraan, sembuhkan (yang sakit) Engkau adalah Zat yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit”

Antara doa lain yang ma’thur daripada Baginda Rasulullah SAW juga ialah:

بسم الله أرقيك من كل شيء يؤذيك ، ومن شر كل نفس أو عين حاسد الله يشفيك ،

“Dengan nama Allah saya meruqyah kamu daripada setiap sesuatu yang menyakitimu, daripada kejahatan setiap diri atau mata orang yang berdengki. Semoga Allah menyembuhkan kamu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Taqarrub merupakan perisai terbaik

Taqarrub iaitu melakukan amalan-amalan peribadi untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah perisai dan penawar terbaik dalam mengubati sihir. Mana-mana pesakit yang terkena sihir pasti dinasihatkan supaya sentiasa solat, membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain lagi walaupun telah sembuh.

Hal ini kerana sihir itu boleh kembali sekiranya pesakit tersebut tidak berusaha membina kekuatan rohani dalam diri sendiri. Sebagai tambahan, setiap ayat al-Quran itu juga sebenarnya adalah ruqyah yang sangat mujarab.

Di samping itu, seseorang mestilah meletakkan keazaman dan keyakinan yang tinggi kepada Allah Taala agar dibebaskan daripada belenggu sesuatu kesulitan. Sekiranya masih tidak berkesan, kita disarankan berjumpa dengan tenaga pakar dipercayai serta benar-benar berkecimpung dalam dunia perubatan Islam.

Ini penting kerana terdapat juga segelintir orang yang menangguk di air keruh lalu mengambil kesempatan akan kesengsaraan orang lain.