Pencapaian Ibnu Khaldun yang pelbagai

Dunia Hanita Hassan
IbnKhaldun_themuslimtimes.info
Gambaran Ibnu Khaldun, sarjana Islam, sejarawan, ahli ekonomi dan saintis sosial © themuslimtimes.info

Sejarah Islam dipenuhi oleh ramai cendekiawan hebat yang sangat dikenali ramai. Salah seorang sarjana hebat Muslim tidak lain dan tidak bukan adalah Ibn Khaldun. Dilahirkan sebagai Abu Zayd Abd ar-Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun al-Hadrami di Tunisia moden pada 27 Mei 1332.

Ibnu Khaldun merupakan salah seorang sarjana terhebat dalam Islam. Secara umum, beliau merupakan seorang sarjana Islam, sejarawan, ahli ekonomi, dan saintis sosial.

Pencapaian Ibnu Khaldun yang pelbagai

Ibnu Khaldun begitu dihormati dalam bidang pengetahuan sehingga diangkat sebagai bapa demografi, sosiologi, pensejarahan, dan ekonomi. Para cendekiawan dari seluruh dunia telah bersetuju bahawa Ibn Khaldun adalah salah seorang pemikir terhebat yang pernah wujud di muka bumi ini.

Seorang lelaki yang mempunyai minat terhadap intelektual, Ibnu Khaldun menghasilkan beberapa buah buku dan salah satu karya paling agungnya berjudul Muqaddimah. Juga disebut sebagai Pengenalan atau Prolegomena, buku ini mengambil masa lebih setengah tahun untuk dihasilkan.

Beliau menulis buku tersebut pada tahun 1337 dalam bahasa Arab dan ia adalah buku yang memfokuskan kepada perspektif awal sejarah dunia. Muqaddimah begitu canggih sehingga para cendekiawan masa kini menganggapnya sebagai karya perintis yang memberi fokus kepada aspek demografi, sains sosial sosiologi, dan sejarah budaya serta banyak lagi.

Buku ini juga menyentuh mengenai ekonomi, pensejarahan, ekologi, teologi Islam, falsafah sejarah, dan teori politik. Pengaruh buku ini sangat meluas sehingga telah menjadi asas kepada apa yang disebut sebagai Darwinisme dan  Darwinisme sosial.

Ibnu Khaldun juga menulis buku-buku lain seperti Sejarah Dunia, Kitab al-Ibar (Buku Pelajaran), dan Pensejarahan Orang Berber dan Maghreb. Buku-bukunya masih relevan sehingga kini dan masih lagi digunakan di pelbagai institusi di seluruh dunia.

Sumbangan yang terus mendapat pengiktirafan sehingga kini

Kita sangat beruntung dapat mengetahui banyak perkara mengenai Ibnu Khaldun sehingga hari ini kerana autobiografinya yang sangat terperinci. Dalam bukunya Muqaddimah, Ibnu Khaldun menyatakan bahawa kemampuan kita berfikir akan mempengaruhi cara kehidupan kita dan beliau mengaitkannya dengan perkembangan dan corak masyarakat.

Kini, karya-karyanya terus mendapat pujian dan kekaguman daripada orang ramai. Ahli sejarah Inggeris yang terkenal, ahli falsafah sejarah, dan penyelidik Arnold Toynbee menyatakan bahawa Muqaddimah merupakan karya terhebat dalam bidangnya.

Sumbangannya kepada ekonomi moden sangat menyeluruh sehingga karyanya hari ini masih diguna pakai oleh ahli ekonomi moden. Ibnu Khaldun menghasilkan karya di pelbagai bidang ekonomi seperti percukaian, pengeluaran, insentif, teori penilaian, dan perdagangan luar negeri.

Bagi seorang intelektual besar seperti Ibnu Khaldun, tidak mengejutkan jika beliau terus menerus memperoleh pengiktirafan walaupun sehingga abad ke-21. Sebagai contoh, Universiti Ibnu Khaldun telah dibuka sebagai penghormatan terhadapnya di Turki pada tahun 2007 dan difahamkan institusi ini menumpukan kepada bidang sains sosial.

Di negara asalnya, Tunisia, gambarnya tertera di atas wang kertas sepuluh dinar. Ibnu Khaldun adalah satu lagi contoh yang jelas mengenai apa yang dianjurkan oleh  Islam. Iaitu sentiasa menasihati umatnya untuk menuntut dan menerapkan ilmu pengetahuan bagi memajukan Islam, segalanya kerana Allah SWT dan memulihara kepentingan umat manusia.