Pendidikan dan bakat anak

dreamstime_s_31735519
Pendidikan dan bakat anak © Szefei | Dreamstime.com

Setiap anak yang dilahirkan mempunyai potensi untuk menjadi individu cemerlang. Bakat mereka boleh berkembang dengan baik apabila anda sebagai ibu bapa memberi sokongan serta galakan berterusan.  Pendidikan dan bakat anak perlu seiring, dan bimbingan anda berupaya mengembangkan bakat terpendam mereka.

Bagi mengembangkan potensi anak, anda perlu berusaha memberikan pendidikan yang sistematik, berstruktur berdasarkan pendekatan wawasan yang sesuai dengan tujuan penciptaan manusia oleh Allah SWT.

Kembangkan bakat anak

Manusia diciptakan oleh Allah SWT selain sebagai hamba-Nya, juga sebagai khalifah di atas muka bumi ini.  Sebagai hamba-Nya dan khalifah, manusia telah diberi kelengkapan kemampuan jasmani dan rohani yang boleh dikembangkan semaksimanya.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

(Surah ar-Rad, ayat 11)

Dalam usaha mencungkil bakat dan potensi anak, ia tidak hanya menyerlahkan daya kreativiti dan inovasi mereka dalam pelbagai bidang ilmu dan teknologi bagi memenuhi kehendak masyarakat yang semakin cenderung kepada industri-teknologi, namun dalam masa yang sama meningkatkan iman dan takwa mereka selaras dengan tuntutan agama.

Dengan agama, boleh membantu anak memilih jalan yang patut dikembangkan. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”

(Surah an-Nahl, ayat 78)

Kecenderungan diri anak berubah-ubah kerana mereka masih mencari identiti diri seawal usia.  Pendedahan yang anda berikan kepada mereka hendaklah secara berperingkat sesuai dengan usia.  Contohnya dengan mendedahkan anak dengan aktiviti memasak, berkebun, mewarna, mengaji, membaca, bersukan dan sebagainya.

Bagi anda yang mampu, anak dihantar ke kelas tuisyen, kelas tarian, piano, muzik, renang dan sebagainya seawal usia dua ke enam tahun.      Kecenderungan anda menyedia persekitaran pembelajaran untuk anak sejak kecil adalah usaha yang baik. Namun tanpa sedar, anda sebenarnya sedang mencorak bakat anak mengikut kehendak dan kemahuan anda sendiri bukan mengikut kemahuan anak.

Pendidikan dan aspek kehidupan

Dalam usia yang masih muda, seeloknya anda memperkenalkan anak-anak dengan persekitaran yang sesuai untuk mereka pelajari dan memahami asas kehidupan melalui pendedahan kepada aspek insaniah yang tidak diajar di dalam kelas di sekolah.

Sesungguhnya pendidikan memainkan peranan penting dalam mencorak pola berfikir dan tingkah laku anak. Elemen ini perlu diberi perhatian rapi agar anak sebagai modal insan berguna dapat direalisasi. Pendidikan dalam Islam tidak terhad kepada latihan fizikal semata bahkan turut melibatkan aspek lain seperti emosi dan akal. Aspek ini saling berkait satu sama lain dalam mewujud keseimbangan pembentukan peribadian anak.

Anak adalah aset paling berharga bukan sahaja kepada anda sebagai ibu bapa, tetapi juga sebagai generasi peneraju masa hadapan.  Karektor dan peribadi yang unggul perlu dibentuk seawal usia sebagai persediaan agar dapat menempuh cabaran pada masa hadapan. Teknik pendidikan yang tepat dan bermutu pasti mampu menghasilkan generasi berdaya saing dan mempunyai jati diri yang utuh.