Penduduk Kampung Segambut Permai diberi tempoh 14 hari untuk berpindah

Uncategorized MAS 24-Dis-2019

Ketegangan timbul akibat rancangan pihak berwajib yang tiba bersama jentolak untuk merobohkan rumah penduduk Kampung Segambut Permai. Namun rancangan perobohan tersebut dihentikan selepas pemilik tanah memberi tempoh 14 hari lagi agar penduduk berpindah.

Ianya hasil perbincangan bersama pemilik tanah, wakil penduduk dan pihak bailif mahkamah. Wakil penduduk, Mohd Fariz Ramli dan Mohd Nazeem Sultan Mohamed telah bersetuju memberikan surat akujanji. Ianya memperincikan akuan kesemua 30 keluarga akan berpindah dalam tempoh 14 hari yang dipersetujui. Manakala pihak pemilik tanah pula, berjanji akan membayar pampasan sepenuhnya kepada penduduk sebelum tempoh tamat.

Menurut Nazeem, penduduk telah bersetuju untuk berpindah. Mereka cuma perlukan masa untuk berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ianya berhubung rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditawarkan kepada penduduk setelah berpindah.

Tanah Kampung Segambut Permai, telah dibeli oleh sebuah syarikat swasta dengan rancangan pelan pembangunan. Perintah mahkamah telah dikeluarkan pada 26 September lalu untuk perobohan. Pemilik tanah bersetuju menangguhkan perobohan tersebut sehingga Disember. Dalam tempoh masa tersebut sebahagian penduduk telah berpindah keluar.

Pada 9 Disember, Khalid Samad telah campur tangan dengan meminta tambahan dua minggu terhadap penangguhan tersebut. Ia bagi membolehkan Kementerian Wilayah Persekutuan mengatur kediaman alternatif buat penduduk yang masih kekal.

Namun, menurut Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan, penyelesaian tersebut tidak mencukupi. DBKL hanya memperuntukkan unit PPR kepada 19 keluarga daripada 30 keluarga yang menetap di sana. Lebih menyedihkan, DBKL juga menetapkan syarat supaya mereka perlu meninggalkan unit PPR berkenaan selepas enam bulan.

Ketika dihubungi, Khalid mendakwa kementeriannya dan DBKL telah pun membantu penduduk sehingga melangkaui kapasiti yang sepatutnya. Ini kerana, tanah berkenaan adalah milik persendirian dan bukan tanah milik kerajaan. DBKL sepatutnya tidak masuk campur dalam urusan berkenaan tetapi tindakan diambil adalah atas ihsan mereka. Terdapat 50,000 dalam senarai menunggu untuk rumah PPR tetapi pemotongan giliran untuk penduduk Kampung Segambut Permai dibuat untuk memastikan mereka tidak bergelandangan.