Penekanan keutamaan malam Lailatul Qadar

Semoga Lailatul Qadar dapat dicapai © Oleksii Yaremenko | Dreamstime.com

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sentiasa dinanti dan dicari-dicari oleh umat Islam sewaktu bulan Ramadan. Sesungguhnya malam Lailatul Qadar ini memang banyak kelebihannya berbanding malam-malam yang lain di bulan Ramadan. Beberapa kelebihan malam Lailatul Qadar akan dikongsikan di sini.

Lebih baik dari seribu bulan – imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak, yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan.” Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik dari seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar.

Malam Al-Quran diturunkan ke bumi – Firman Allah SWT dalam surah Al-Qadar, ayat 1-3: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.”

Diampunkan dosa-doa yang terdahulu – Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Malam yang penuh kesejahteraan – Firman Allah SWT dalam surah Al-Qadar, ayat 4-5: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.”

Malam yang penuh dengan keberkatan – Firman Allah SWT dalam surah Ad-Dukhan, ayat 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.”

Daripada Aishah r.a., Rasulullah SAW beriktikaf di masjid dalam sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadan, kemudian Baginda bersabda: “Carilah Lailatul Qadar dalam sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama telah bersetuju bahawa malam Lailatul Qadar akan berlaku di dalam malam-malam sepuluh yang terakhir di bulan Ramadan. Ini bersandarkan kepada banyak hadis Nabi Muhammad SAW.

Apapun sebagai seorang Muslim, kita haruslah beristiqamah dalam melakukan ibadat. Kita seharusnya memperbanyakkan amal ibadah di dalam bulan Ramadan ini, terutamanya pada 10 malam yang terakhir. Namun, amal ibadah tersebut seharusnya ikhlas dan berterusan juga setelah tamatnya bulan Ramadan ini nanti.

Semoga kita dapat menjalani kehidupan Muslim yang sejati dan ikhlas beramal kerana Allah Yang Maha Esa.