Penetapan matlamat dan perancangan hidup

Kehidupan Hanita Hassan 09-Nov-2020
dreamstime_s_171767944
Penetapan matlamat dan perancangan hidup © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Menetapkan matlamat dan tujuan hidup, merangka masa hadapan dan mencorak kehidupan adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Apakah yang anda inginkan dalam hidup dan bagaimana anda akan mencapai matlamat hidup di dunia mahupun akhirat?

Falsafah Islam sangat mudah iaitu kita dicipta untuk menyembah Allah Yang Maha Suci. Walaupun tujuan utama kehidupan anda sebegitu, tetapi itu tidak bermaksud anda perlu menghabiskan sepanjang hari beribadah di masjid atau berada di atas sejadah sahaja.

Bertebaran di muka bumi, cari kurniaan Allah SWT

Allah  SWT menghendaki  umat Islam agar menjadi ahli masyarakat yang aktif dan memerintahkan kita menjalani kehidupan di dunia serta mengejar kurniaan Allah SWT setiap kali selepas solat. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”

(Surah al-Jumu’ah, ayat 10)

Allah SWT memberitahu kita bahawa setiap perancangan-Nya tidak dilakukan sembarangan. Allah telah merancang dan menetapkan semua perkara dengan adil dan terperinci.  Semuanya telah dirancang-Nya sepertimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.”

(Surah al-Qamar, ayat 49)

Perancangan Allah SWT adalah yang terbaik

Semua perancangan kita mungkin tidak sempurna, dan jika kita menerimanya  sejak daripada awal bahawa rancangan kita tidak sempurna, maka tidak perlu bimbang sekiranya  kita terpaksa berdepan dengan kegagalan.

Oleh kerana ramai di antara kita juga takut membuat perancangan kerana perasaan bimbang gagal mencapai perkara-perkara seperti itu. Maka ingatlah, semua perkara yang kita lakukan adalah mengikut kehendak dan perancangan Allah SWT.

Kehidupan kita mungkin tidak berjalan seperti yang kita rancangkan. Tetapi ia berjalan dengan tepat sepertimana yang dirancang oleh Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.”

(Surah al-Anfaal, ayat 30)