Pengajaran daripada cerita Mat Jenin

goodreads.combookshow25334911-mat-jenin
Pengajaran daripada cerita Mat Jenin © goodreads.com

Cerita Mat Jenin merupakan cerita rakyat pada zaman dahulu. Cerita ini hampir dilupai oleh generasi muda dan kanak-kanak masa kini. Mat Jenin adalah seorang yang terkenal dengan sifat berangannya.

Pekerjaan Mat Jenin ialah mengambil upah memanjat pokok kelapa. Pada suatu hari, seperti rutin hariannya, dia memanjat pokok kelapa dan mengumpulkannya, sehinggalah pada pokok yang kesebelas.

Bertenggek atas pelepah kelapa sambil berangan

Dia mula berangan-angan menjadi seorang yang kaya. Ketika itu, dia sedang bertenggek di atas pelepah kelapa yang kering. Dia berangan-angan agar hasil daripada memetik buah kelapa, dia ingin membeli 20 biji telur, kemudian mengeramkannya.

Apabila ayamnya membesar dia akan menjual ayam tersebut dan membeli kambing. Selepas kambing membiak, dia bercadang untuk membeli lembu pula. Selepas itu, dia ingin membeli seekor kuda.

Dia akan menaiki kuda melihat ternakan lembu dan kambingnya. Dia juga menjemput seorang puteri raja menaiki kuda bersama-samanya. Wah! Betapa seronoknya. Tuan Puteri memintanya memacu kuda dengan laju.

Tatkala kuda yang dipandunya dengan laju, tanpa kawalan, tiba-tiba kuda yang dinaikinya terjatuh ke dalam perigi buta kerana tersilap lompat. Ketika itulah Mat Jenin, tiba-tiba tersedar bahawa dia sebenarnya terhenjut-henjut di atas pelepah kelapa. Dia juga terkejut tatkala badannya melayang-layang ke udara.

Tiba-tiba badannya melayang jatuh ke tanah dengan kakinya tercegat. Lantas, orang kampung terlopong melihat kejadian itu. Mat Jenin hanya mampu tersenyum dan tersengeh. Orang kampung menyindirnya kerana suka berangan-angan.

Pengajaran daripada angan Mat Jenin

Oleh itu beberapa pengajaran dapat diambil daripada peristiwa tersebut iaitu:

  • Sifat berangan-angan adalah amalan syaitan yang perlu dijauhi
  • Jika kita inginkan sesuatu perkara, kita perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya
  • Angan-angan kosong tidak dapat memberikan apa-apa hasil dan hanya merugikan kita sahaja. Firman Allah SWT: “…Dan kalian tertipu dengan angan-angan kosong.” (Surah al-Hadid, ayat 11)
  • Islam juga menggalakkan kita agar sentiasa berdoa yang baik-baik untuk kesejahteraan hidup, namun doa sahaja tanpa usaha juga tidak memadai
  • Setiap pekerjaan yang kita lakukan hendaklah dibuat dengan bersungguh-sungguh. Pepatah Arab ada menyatakan ‘Sesiapa yang berusaha akan berjaya, sesiapa yang bermalasan akan menemui kegagalan’
  • Setiap perbuatan kita hendaklah dimulakan dengan basmalah dan niat yang betul kerana Allah taala. Niat yang baik akan menghasilkan perbuatan yang baik dan diredai
  • Jangan memandang rendah kepada pekerjaan seseorang

Justeru, kita hendaklah menjauhi sifat berangan-angan tanpa usaha. Tidak salah jika berangan-angan, namun, biarlah angan-angan menjadi kenyataan setimpal dengan apa yang diusahakan.