Pengajaran Daripada Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim Dan Siti Hajar

Sahsiah Nor Syariza Tahir 07-Ogo-2019

Apabila bercakap mengenai rukun Islam yang kelima, dua perkara yang pasti terlintas di fikiran kita adalah mengerjakan ibadah haji dan melakukan ibadah korban.

Apabila disebut sahaja mengenai korban, apa yang terlintas adalah aktiviti penyembelihan haiwan-haiwan ternakan seperti lembu yang sering dilakukan saban tahun.

Namun, dalam konteks kehidupan secara menyeluruh, SalamToday ingin mengajak para pembaca semua untuk berfikir sejenak mengenai erti pengorbanan yang boleh kita kaitkan dengan kehidupan seharian pada hari ini.

Perkataan ‘berkorban’ atau ‘pengorbanan’ amat mudah untuk dituturkan, namun adakah terlalu mudah untuk kita lakukan?

Dengan pelbagai cabaran yang hebat serta gejala fitnah yang bermaharajalela pada masa kini, adakah hati kita cukup kuat untuk melakukan pengorbanan terhadap perkara-perkara atau orang yang kita sayang?

Bagi memahami erti sebenar pengorbanan dalam kehidupan seharian, marilah kita sama-sama menghayati kisah Nabi Ibrahim A.S. dan isterinya, Siti Hajar.

 

Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar

Siti Hajar ialah isteri kedua Nabi Ibrahim A.S, yang digambarkan sebagai seorang wanita, isteri dan ibu yang sabar, bijaksana, cantik, taat kepada perintah Allah dan suami serta tabah menghadapi ujian yang diturunkan.

Manakala Nabi Ibrahim pula merupakan seorang suami dan ayah yang amat taat kepada perintah Allah, redha dan tabah melakukan pengorbanan meskipun terpaksa mengorbankan orang yang disayanginya.

Kisah pengorbanan kedua-dua pasangan suami isteri ini amat besar impaknya sehingga ia menjadi titik tolak kepada ibadah haji dan korban yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam sehingga ke hari ini.

Diriwayatkan kisah Nabi Ibrahim A.S. yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. untuk meninggalkan Siti Hajar dan anak mereka yang masih kecil, Ismail (Nabi Ismail) di sebuah kawasan lembah yang tandus, gersang dan tiada seorang pun manusia.

Sebagai seorang nabi dan hamba Allah yang taat, Nabi Ibrahim lantas melaksanakan perintah tersebut meskipun di hatinya amat sedih kerana dia perlu meninggalkan dua orang yang amat dikasihinya.

 

Betapa sayunya hati seorang isteri apabila mendapati dirinya akan ditinggalkan oleh sang suami di kawasan yang tiada berpenghuni tanpa sebarang sebab.

Namun, disebabkan ketaatan hatinya kepada Allah, ketika Nabi Ibrahim berpaling hendak meninggalkannya, Siti Hajar bertanya kepada suaminya: “Adakah Allah yang memerintahkan kamu melakukannya?”

Lantas Nabi Ibrahim hanya menjawab “Benar.”

Dengan kekuatan dan keyakinan hatinya, Siti Hajar menjawab, “Jika begitu, Allah tidak akan mensia-siakan kami.”

Maka Nabi Ibrahim pun berangkat pergi meninggalkan isterinya yang terkontang-kanting dengan Ismail sambil berdoa supaya Allah memelihara dan menjaga anak serta isterinya.

Sejurus ditinggalkan, Siti Hajar memerhatikan kawasan sekeliling. Tiada sumber air atau makanan, yang ada hanyalah tanah tandus. Tiada para sufi atau kabilah yang lalu-lalang untuk meminta bantuan.

Yang ada hanyalah keyakinannya kepada Allah S.W.T. , keimanan hatinya yang kuat, ketaatannya kepada suami serta kasih sayangnya terhadap anaknya.

Selepas itu, diriwayatkan bahawa sebekas kurma dan sekantung air yang dijadikan bekalan untuk Siti Hajar dan anaknya akhirnya kehabisan, dan Ismail mula menangis meminta makanan.

Dek  rasa kasih seorang ibu, Siti Hajar berlari-lari dari bukit Safaa ke Marwah sebanyak tujuh kali pusingan untuk mencari air atau kalau-kalau terserempak dengan kelibat manusia untuk meminta bantuan.

Dengan kuasa Allah, akhirnya muncullah air dari tumit kaki Ismail, yang kemudiannya menjadi air zamzam yang tidak terputus bekalannya sehingga ke hari ini.

Sejak itu, kawasan lembah tersebut mula didatangi oleh orang ramai yang akhirnya menjadi sebuah perkampungan dan dikenali sebagai Mekah pada hari ini.

Selain kisah tersebut, kita juga perlu mengambil iktibar daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana taat kepada perintah Allah, sedangkan itu hanya merupakan satu ujian daripada Allah.

Sekali lagi ketaatan dan keimanan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar diuji apabila kedua-dua merelakan perkara tersebut kerana yakin dengan kekuasaan Allah.

Akhirnya, Allah menggantikan Ismail dengan seekor binatang sembelihan yang lain. Maka, terlepaslah Siti Hajar dan Nabi Ibrahim dalam ujian yang amat besar yang Allah turunkan.

Pengajaran Yang Boleh Diaplikasikan Dalam Kehidupan Hari Ini

Berdasarkan kisah di atas, terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil dan disesuaikan dengan kehidupan kita dalam zaman serba moden ini.

1. Ketaatan seorang isteri terhadap suami

Siti Hajar amat mempercayai suaminya dan tidak berfikir perkara yang negatif atas tindakan suaminya yang meninggalkannya di kawasan yang tiada berpenghuni. Sebaliknya, dia percaya bahawa itu semua adalah suruhan Allah dan ada hikmah di sebalik ujian tersebut.

Dalam kehidupan kita pada hari ini, jika kita diuji sedemikian, adakah kita akan berprasangka buruk terhadap suami? Adakah kita akan mempersoalkan segala tindakan suami kita dan tidak redha dengan ujian yang Allah turunkan? Tepuk dada, tanyalah selera.

 

2. Ketaatan seorang hamba Allah

Sebagai hamba Allah, Nabi Ibrahim dan Siti Hajar taat kepada perintahNya. Baginda menurut suruhan Allah meskipun terpaksa meninggalkan kedua-dua orang yang amat disayanginya. Selain itu, Baginda juga sanggup untuk menyembelih anaknya yang amat dikasihinya kerana taat kepada perintah Allah.

Sebaliknya, jika kita diuji untuk melakukan pengorbanan yang melibatkan orang yang kita sayang, adakah kita sanggup melakukan pengorbanan tersebut? Adakah kita sanggup mengorbankan harta, pangkat, kedudukan dan orang yang kita sayang demi agama?

3. Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya

Tindakan Siti Hajar yang berlari-lari sebanyak tujuh pusingan dari Bukit Safaa ke Marwah demi untuk mencari sumber air bagi memberi minum kepada anaknya, Ismail. Betapa kentalnya hati seorang ibu demi untuk anaknya yang menangis kelaparan.

Jika anak kita menangis kelaparan dan kita tidak mempunyai sebarang makanan atau minuman di rumah, adakah kita sanggup berkorban dengan penuh kesukaran dalam mencari sumber makanan dan minuman untuk anak tersebut?

4. Ketaqwaan kepada Allah akan dikurniakan kebaikan

Ketaqwaan Siti Hajar dalam meyakini hikmah bagi ujian yang Allah turunkan telah membuatkan air zamzam timbul secara tidak disangka-sangka dari  kaki Nabi Ismail, yang akhirnya kekal sehingga ke hari ini.

Jika kita yakin dan bertaqwa kepada Allah S.W.T, nescaya Dia akan mengurniakan anugerah yang tidak disangka-sangka kepada kita. Yang penting kita harus yakin dan beriman kepadanNya.

5. Pengorbanan yang ikhlas akhirnya membawa kebaikan

Pengorbanan Nabi Ibrahim untuk meninggalkan anak dan isterinya dalam satu tempoh yang lama telah membuatkan berlakunya perkara-perkara lain seperti timbulnya air zamzam serta munculnya kota Mekah sehingga ia menjadi negeri yang subur, makmur dan didatangi orang dari setiap pelosok dunia. Begitu juga pengorbanan untuk menyembelih Nabi Ismail telah menyebabkan ibadah korban menjadi sesuatu yang dilakukan oleh umat Islam hingga ke hari ini.

 

Jika kita melakukan pengorbanan dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah, nescaya Allah pasti menyediakan hikmah terindah buat kita yang tidak kita sangkakan.

Foto: Adli Wahid & Yuliya Kosolapova (Unsplash), Janko Ferlic, Oleksandr Pidvalnyi, Renato Danyi, Shy Sol, Walid Ahmad, Pixabay & Rawpixel.com (Pexels)