Pengajaran daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW

Semoga anda sehat sepanjang tahun 1442 Hijriah! (Kullu am wa antum bikhair) © Mfaqeeh | Dreamstime.com

Awal Muharam merupakan peristiwa penting dalam takwim Islam. Yang mana berlakunya peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke kota Madinah pada 622 Hijrah. Ketika itu penduduk Muhajirin dari Makkah bersatu dengan penduduk Ansar dari Madinah untuk menegakkan agama Islam.

Bagi masyarakat Islam di Malaysia menjadikan peristiwa ini sebagai satu acara keagamaan dengan mengadakan solat sunat dan bacaan surah Yasin pada malamnya. Seterusnya, hari tersebut merupakan cuti umum bagi rakyat Malaysia. Bermula daripada peristiwa inilah takwim Islam diwujudkan, namun secara rasminya bermula pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a.

Ketabahan baginda Rasulullah SAW untuk menegakkan agama Islam amat dikagumi, sehinggalah klimaksnya tiba semasa peristiwa Hijrah ini.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.”

Maka Allah SWT menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 40)

Peristiwa Hijrah amat sinonim dalam kehidupan harian kita. Namun bagaimana kita mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut? Saban hari kita diuji dengan pelbagai dugaan kehidupan. Ada kalanya hidup dalam keadaan senang dan susah.

Namun ada juga insan lain yang masih memerlukan pembelaan dan bantuan dari kita. Beberapa pengajaran boleh diambil daripada peritiwa Hijrah ini, antaranya ialah:

Pertama: Mewujudkan Kerajaan Islam yang menyatukan akidah, syariat dan hukum. Akidah adalah tonggak kehidupan. Ia dibuktikan apabila golongan Muhajirin dan Ansar bersatu untuk berjihad di jalan Allah SWT di samping kekuatan ekonomi, kemasyarakatan dan ketenteraan.

Kedua: Perancangan yang strategik untuk menyebarkan agama Islam ke seluruh pelusuk dunia. Perancangan ini bermula apabila baginda SAW dan Sayidina Abu Bakar r.a merancang untuk berhijrah ke Madinah. Tanpa perancangan yang baik penghijrahan ini tidak dapat dilaksanakan.

Ketiga: Ahli hadis seperti Imam Bukhari r.a dan Muslim r.a mengambil peluang mengumpulkan hadis sahih dari Rasulullah SAW. Para ulama datang ke Semenanjung Tanah Arab semata-mata medapatkan kesahihan hadis.

Keempat: Melahirkan sifat sabar, bantu membantu, persaudaraan, tawakkal kepada Allah SWT ketika berhijrah. Setiap pengorbanan memerlukan kesatuan hati untuk berjuang menegakkan agama Islam.

Kelima: Kemunculan era Ketamadunan dan Peradaban Islam pada kurun ke-7 hingga 12 Masihi. Iaitu pada zaman Dinasti Umayyah di bawah pimpinan Thariq bin Ziyad. Beliau membangunkan peradaban Islam pertama di Eropah.

Keenam: Pelbagai penemuan ilmu sains dan teknologi, falsafah dan bahasa ditemui. Para sahabat dan tabiin mencari ilmu pengetahuan dan menyebarkannya. Sehingga kemunculan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam sistem pendidikan Malaysia masa kini.

Oleh itu, rentetan daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW mengajar kita erti kehidupan. Kita hendaklah sentiasa berpegang kepada Quran dan Sunnah, mematuhi setiap suruhan Islam dan menjauhi setiap larangan.

Dalam era teknologi masa kini, penghijrahan minda dan jiwa perlu dilakukan agar seiring dengan matlamat syariat yang sebenar.