Pengakhiran Kesultanan Melaka yang hilang petunjuk

Kehidupan Syed Safri 08-Jun-2020
Melaka, 1509-1512

Kejatuhan Kesultanan Islam Melaka pada 15 Ogos 1511 merupakan penyudah kepada empayar kebanggaan alam Nusantara yang termasyhur itu. Betapa unggulnya Kesultanan Melaka ini yang berusia sekitar 110 tahun ketika itu. Emporium komersial dan perdagangan entrepotnya telah mencapai kemajuan tertinggi serta diiktiraf sebagai pusat ekonomi dengan warga dunia perniagaannya bertutur lebih daripada 80 bahasa. Sebagai kuasa besar maritim, Melaka juga terkenal dengan fungsinya sebagai pusat serantau penyebaran Islam.

Bertentangan dengan kepercayaan popular, tewasnya Melaka kepada ‘Benggali Putih’ Portugis bukan dengan cara atau sebab yang mudah, seperti yang pernah diusulkan dalam lipatan sejarah. Tidak masuk akal jika dikatakan Melaka kalah ditangan Portugis kerana kemunduran barisan pertahanan dan lemahnya penggunaan kaedah persenjataan.

Armada tentera Portugis yang hebat bukanlah penyebab utama kekalahan, sebaliknya kekuatan peperangan Melaka adalah setara dengan Portugis. Angkatan tentera Kesultanan Melaka telah berjuang dengan seluruh upaya baik dari segi taktikal, diplomasi, atau strategi pertempuran. Terdapat banyak bukti kukuh daripada sumber asing tentang kemajuan dan keupayaan teknologi ketenteraan sedia ada di Melaka.

Malahan, menurut buku ‘A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries’ (John Crawfurd, 1856), tentera Portugis telah merampas antara 3000 ke 8000 bedil-bedil (senjata api) dari jenis Bidik (senapang) seperti  Istinggar dan Pemuras, termasuk variasi  Tuju (meriam) yang dikenali sebagai Lela dan Rentaka, selepas tamatnya peperangan apabila Melaka ditakluki secara rasmi.

Pemerintah terakhir Melaka, Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah yang berkuasa dari 1488-1511 bersama para pentadbir kanannya telah dibelenggu oleh pelbagai kelemahan yang mengarah kepada kemerosotannya. Sultan Mahmud bukanlah seorang penguasa yang sempurna dalam menangani urusan  pentadbiran tetapi rasionalnya, baginda turut menjadi mangsa keadaan. Ini meliputi kerapuhan tadbir urus dan krisis politik yang sebahagiannya penuh dengan tipu helah, rasuah, penentangan dan pergeseran kepentingan yang diketahui umum.

Sejarah juga telah menyorot pembabitan Bendahara terakhir Kesultanan Melaka, iaitu Tun Mutahir dan pelaksanaan hukuman mati ke atasnya oleh Sultan Mahmud yang didasari beberapa alasan. Antaranya, hukuman ini dijatuhkan kerana Tun Mutahir telah dituduh untuk cuba mengambil alih takhta kerajaan. Tun Mutahir juga digambarkan cenderung memilih kasih apabila memberikan jawatan pentadbiran berwibawa kepada saudara-maranya, lalu menimbulkan kebencian para bangsawan lain.

Seperti dijangka, kesuraman yang berlanjutan dalam hal sosio-politik Melaka telah mempengaruhi keadaan ekonomi yang semakin meruncing. Ini menyebabkan sebahagian rakyat berpecah belah tanpa kesatuan yang kuat dan nyata. Sewaktu pihak Portugis mengolah cara untuk menceroboh Melaka, terdapat segelintir pedagang asing dari India dan Cina yang bersekutu dengan Portugis untuk menentang kerajaan Melaka. Sebagai contoh, ada pedagang Cina yang membantu Portugis dengan menawarkan jong-jong atau kapal-kapal untuk digunakan ketika menyerang Kota Melaka.

Pihak Portugis juga mengetahui kelemahan Melaka melalui perancangan licik dan kelebihan dari segi maklumat risikan dan kerja khianat yang membabitkan watak-watak seperti Ruy de Aroujo, seorang tahanan armada tentera Diogo Lopes de Sequeira; tali barut Portugis, Naina Chittu iaitu saudagar berpengaruh dari India; oportunis bernama Utimutiraja, penduduk tetap juga ahli perniagaan berketurunan Jawa yang bersifat pembelot. Kebergantungan kerajaan Melaka pada tentera upahan yang kesetiaannya tidak mutlak juga berakhir dengan nasib yang sama.

Titik tolak kehancuran Melaka adalah disebabkan kurangnya kesepaduan dan kesepakatan di dalam lingkungan masyarakat setempat, terutamanya mereka yang berada di tampuk kepemimpinan. Sikap santai dalam bertolak ansur dan terlalu memercayai bangsa asing yang ditunjukkan ketika itu akhirnya memakan diri apabila terdapat beberapa warga pedagang dan pemastautin yang menjadi musuh dalam selimut. Musuh-musuh sebegini berada di setiap penjuru kemakmuran Melaka di penghujung zaman kegemilangannya.

Oleh yang demikian, adalah jelas punca masalah utama yang menyebabkan tumbangnya Melaka, yang seakan tersembunyi di belakang tirai kejatuhannya adalah gejolak dan pengkhianatan dalaman. Ia turut didorong oleh keserakahan kuasa, termasuk perasaan dendam yang pada dasarnya menidakkan kemuliaan kepercayaan dan syiar Islam yang begitu utuh ketika itu. Jika diteliti, perkara-perkara ini adalah ekoran langsung kurangnya pematuhan kepada ajaran Islam beserta amalan peradaban tinggi Melayu Melaka.

Semangat perjuangan, kesetiaan dan jati diri juga adalah nilai-nilai murni yang harus dijiwai bagi mengelakkan berlakunya kekecewaan dan keadaan huru-hara yang menjatuhkan Kesultanan Melaka. Terhentinya sejarah kedaulatan Kesultanan Melaka seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran berguna kepada masyarakat majmuk kini di Malaysia. Dengan izin Tuhan, pemeliharaan iman dan penambahbaikan adat budaya Melayu oleh orang Melayu yang disulami ilmu-ilmu keislaman akan menjadi akar yang subur meneguhi pohon kehidupan kita di dunia.