Pengalaman bercuti bersama keluarga sewaktu PKPP (1)

Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sektor pelancongan kembali dibuka, saya dan isteri terus merancang untuk pergi bercuti ke Pulau Pangkor. Pulau Pangkor terletak di daerah Manjung, Perak.

Sebenarnya sebelum itu ingin merancang bercuti di Kuala Terengganu, tetapi memikirkan jarak yang agak jauh dari tempat tinggal serta perlu mengambil cuti yang panjang, akhirnya Pulau Pangkor menjadi pilihan.

Bertolak ke Pulau Pangkor

Tiba hari yang dinantikan, saya sekeluarga bergerak menuju ke Pulau Pangkor. Kali ini kami ke Pangkor melalui jeti Marina Hotel. Kadar parkir kereta di sini juga amat berpatutan. RM10 sehari untuk parkir terbuka dan RM15 sehari untuk parkir tertutup.

Seterusnya kami terus membeli tiket di kaunter. Harga tiket adalah RM14 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Pastikan anda simpan tiket ini, ya. Harga tiket ini adalah untuk perjalanan dua hala dan tiket ini juga akan digunakan semula sewaktu perjalanan pulang nanti. Rezeki kami, sewaktu membeli tiket, Feri dari Pangkor sudah hampir tiba, jadi tidak perlu menunggu lama untuk menaiki feri.

Sejajar dengan normal baharu, para penumpang feri perlu mengisi borang khas setelah membeli tiket. Suhu badan penumpang juga turut diperiksa oleh petugas syarikat feri. Setelah selesai barulah boleh menaiki feri ke Pangkor. Lebih kurang 15 minit perjalanan, kami sudahpun tiba di Pulau Pangkor.

Setelah itu saya terus menghubungi wakil kereta sewa yang telah saya tempah sebelum ke Pangkor. Bagi anda yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai seperti kami, saya cadangkan untuk sewa kereta berbanding menaiki teksi van. Selain lebih menjimatkan, adalah lebih selesa dan mudah untuk anda bergerak ke mana-mana.

Setelah selesai urusan menyewa kereta, kami terus bergerak menuju ke hotel. Kami telah memilih Rumah Rehat Kerajaan Perak sebagai destinasi penginapan kami. Ini adalah destinasi pilihan kami untuk menginap.

Penginapan dan makan malam

Selain lokasinya yang agak jauh dari tumpuan pelancong, biliknya amat selesa, harga berpatutan dan layanan yang cukup mesra dari petugas hotel ini menjadikan pilihan yang amat sesuai buat kami.

Rumah Rehat Kerajaan Perak ini terletak di Teluk Dalam, tidak jauh dari Lapangan Terbang Pangkor. Setelah selesai mendaftar masuk, kami sekeluarga berehat dahulu. Anak-anak semuanya sudah tidak sabar untuk mandi laut.

Namun keinginan mereka terpaksa ditangguhkan dahulu kerana hari sudah agak lewat petang. Walaupun agak kecewa, namun anak-anak memahami dan menuruti akhirnya.

Usai solat Isyak, kami sekeluarga makan malam bersama-sama. Malam itu kami menjamu selera di Pantai Teluk Nipah. Terdapat banyak gerai-gerai yang ada di sana. Kami makan di gerai no 8.

Terdapat pelbagai pilihan set untuk anda pilih. Menu utama sudah pastinya menu masakan laut. Masakan gerai no 8 ini kena dengan selera dan menu di dalam setnya juga boleh ditukar (kadar harga yang sama) mengikut selera pelanggan.

Di hadapan gerai-gerai makan ini juga terdapat beberapa pasar mini. Jika anda ingin membeli barang keperluan seperti air mineral, bolehlah beli di sana. Jangan tunggu hingga terlalu lewat malam kerana mungkin ianya sudah ditutup. Terdapat juga kedai serbaneka yang lain, namun ianya terletak di Pekan Pangkor.

(bersambung)