Pendapat 23-Jun-2020

Pengalaman bercuti bersama keluarga sewaktu PKPP (2)

Chan Abdullah
Kolumnis
Masjid Al-Badr Seribu Selawat di Pulau Pangkor © Mohd Hafiez Mohd Razali | Dreamstime.com

Pagi esok, kami sekeluarga pergi bersarapan di luar. Kali ini misi mencari Laksa Mi, sejenis makanan tempatan penduduk Pangkor yang sangat popular. Sebelum ini pernah mencuba namun tidak kena selera. Setelah mendapatkan maklumat dari penduduk setempat, mereka mencadangkan kami ke gerai berhampiran Kota Belanda.

Rezeki kami kali ini dapat menikmati Laksa Mi yang sedap. Selain Laksa Mi, gerai tersebut juga menyediakan hidangan nasi lemak, telur separuh masak, laksa, bihun dan mi goreng. Tidak jauh dari Kota Belanda terdapat sebuah batu bersurat. Ini sebahagian daripada tarikan pelancong yang berkunjung ke sini.

Setelah itu, kami pulang semula ke bilik hotel dan bersiap untuk mandi laut. Anak-anak memang sudah tidak sabar lagi untuk bermain di pantai. Kami hanya mandi laut di tepi hotel kami sahaja. Memang menyeronokkan, kerana lebih sunyi dan kurang orang di situ berbanding di pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah.

Di sini juga anda berpeluang menyaksikan burung Enggang secara dekat. Memang saya berpuas hati dapat melihat burung Enggang pada jarak yang begitu dekat. Jika tidak sebelum ini hanya dapat melihat di zoo sahaja, itupun bukan dari jarak yang benar-benar dekat.

Sedang kami seronok mandi laut dan bermain air, tiba-tiba ada kelibat beberapa ekor kera besar datang menghampiri kereta sewa di kawasan parkir hotel dan juga barangan di tepi pantai. Makin lama semakin hampir dengan kami. Seekor kera besar di atas kereta sewa kami merosakkan penghadang hujan di tingkap kerana berang tidak dapat membuka pintu kereta dan mengambil air.

Akhirnya kera itu berlari dengan sangat pantas ke arah kami dan barangan kami di pantai. Bimbang anak-anak dan isteri dicederakan kera tersebut, saya menyambar dahan kayu patah di tepi pantai untuk dijadikan senjata. Sambil menghayun-hayunkan kayu, saya berteriak kuat bagi menakutkan kera itu walaupun sebenarnya saya sendiri berasa agak takut pada ketika itu. Syukur kera tersebut tidak menyerang kami dan semua ahli keluarga selamat.

Aktiviti mandi-manda di laut agak terganggu selepas kejadian itu. Keseronokan juga sudah mula terpadam dan diganti perasaan risau. Sekejap-sekejap terpaksa berkawal bimbang ada kera yang cuba datang lagi. Akhirnya setelah anak-anak kepenatan, kami pulang ke bilik hotel dan berehat. Jantung masih lagi berdegup kencang, bimbang tentang ancaman kera sebelum itu.

Setelah solat Zohor, kami pergi makan tengah hari di Pekan Pangkor. Kali ini Restoran D’Hasnah Corner di Selera Pangkor menjadi pilihan kami. Terdapat pelbagai pilihan lauk pauk yang menarik untuk anda pilih. Terdapat juga pilihan masakan panas untuk dipilih. Cubalah nasi goreng di sana, memang sedap.

Selepas itu kami berjalan-jalan dan mengambil peluang menangkap gambar di Masjid Al-Badr Seribu Selawat, sebuah masjid terapung di Kampung Teluk Bharu, Teluk Gedong. Agak kecewa sedikit kerana masih belum dibuka untuk aktiviti pelancongan. Insya-Allah, satu hari nanti akan kembali untuk beriktikaf dan solat di masjid ini.

Sebelah malam pula kami, sempat menjamu selera di kedai bersebelahan Masjid Kampung Masjid. Nasi Goreng Udang Lipannya memang sungguh enak.

Begitulah sedikit sebanyak pegalaman saya dan keluarga bercuti di Pulau Pangkor. Lega dan seronok melihat anak-anak gembira dapat keluar beriadah dan bercuti setelah lama terperap di rumah.

Banyak pengalaman baru yang diperolehi. Benarlah kata pepatah, ‘Jauh perjalanan, luas pemandangan’.

Artikel berkaitan
Pendapat
Pendapat 15-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sektor pelancongan kembali dibuka, saya dan isteri terus merancang untuk pergi bercuti ke Pulau Pangkor. Pulau Pangkor terletak di daerah Manjung, Perak. Sebenarnya sebelum itu ingin merancang bercuti di Kuala Terengganu, tetapi memikirkan jarak yang agak jauh dari tempat tinggal serta perlu mengambil cuti yang panjang, akhirnya Pulau Pangkor menjadi pilihan.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 05-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Mengambil pemain naturalisasi sebagai pemain sesuatu pasukan negara bukanlah sesuatu perkara yang baru. Dalam sukan lain misalnya seperti ping pong dan badminton, ramai pemain kelahiran China menjadi wakil negara lain. Malah dalam sukan bolasepak sendiri juga perkara ini sudah menjadi kebiasaan.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 26-Mei-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Alhamdulillah, dengan adanya kemajuan teknologi, terubatlah sedikit perasaan sedih dan kecewa tak dapat beraya bersama keluarga. Setelah berbulan lamanya petugas barisan hadapan berkorban berjuang membantu melawan COVID-19, tibalah masanya rakyat Malaysia yang lain juga turut berkorban sementara di hari raya ini. Patuhi arahan dan garis panduan yang ditetapkan sewaktu sambutan hari raya.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 12-Mei-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Para pekerja telah dibekalkan dengan pelan lokasi tempat kerja yang baharu. Tempat kerja telah disusun bagi menjaga jarak sosial yang bersesuaian sepertimana garis panduan yang telah ditetapkan.

Teruskan Teruskan