Pengalaman berharga menunaikan umrah

Islam 06 Apr 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Pendapat oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Pengalaman berharga menunaikan umrah
Pengalaman berharga menunaikan umrah © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman menunaikan umrah pada tanggal Januari 2020. Ia kurang lebih sebulan sebelum dunia diuji pandemik COVID-19. Allah SWT adalah sebaik-baik penyusun dalam setiap caturan.

Perjalanan menuju umrah bersama keluarga kecil dipermudahkan. Segala urusan berjalan lancar.

Pengalaman Berharga menunaikan umrah

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”

(Surah al- Baqarah, ayat 157)

Kali pertama pengalaman menunaikan umrah sangat memberi seribu satu kenangan manis yang tidak dapat dirungkai. Perasaan bercampur dari gembira, tidak sabar, syukur, dan berdebar-debar.

Suhu yang amat sejuk dan pertama kali melihat Kaabah

Pengalaman menunaikan umrah ketika itu tidak akan dapat dilupakan. Suhu ketika tiba di Makkah teramat sejuk iaitu antara 1-8 °C. Bibir dan kulit mula mongering. Lip Balm Vaseline menjadi teman setiap masa. Semakin hari semakin sejuk. Anak kecil diselimutkan dengan kain ihram beberapa lapis.

Kali pertama melihat Kaabah, Allahuakbar! Masuk melalui Pintu King Abdul Aziz, air mata tidak mampu diseka lagi. Ia laju mengalir panas di pipi. Kerdilnya rasa ketika itu. Mata tidak berkedip melihat kebesaran Allah SWT. Allah, Kaabah di hadapan mataku.

Tangan terus diangkat, mengangkat rasa syukur yang tidak terhingga. Rasa sebak ditahan sejak berada di dalam bas melihat Menara Jam dari kejauhan sambil membaca talbiyah “Labbaikallahumma Labbaik”.

Dingin air Zam-Zam, haruman Baitullah dan Hajarul Aswad

Kelihatan ramai jemaah beratur di paip dan tong-tong air zam. Terus pergi beratur dan dapatkan air zam-zam, sejuknya rasa mengalir di tekak menghilangkan kehausan.

Daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit.”

Subhanallah! Bau haruman Baitullah membuatkan diri rasa terbuai-buai. Kelihatan asap kayu gaharu dibawa mengelilingi dataran Kaabah. Bauan harum ini tidak akan dijumpai di mana-mana tempat sekalipun bila pulang ke tanah air.

Nikmat Tawaf dan Sai’e

Nikmat Tawaf dan Sai’e di saat umrah pertama tidak pernah luput dalam ingatan. Di saat kaki melangkah tawaf mengelilingi Kaabah, terasa dingin di tapak kaki betapa sejuknya suhu ketika itu. Kepala didongakkan ke langit.

Ya Allah kerdilnya hamba-Mu, betapa banyaknya dosa yang aku lakukan ya Allah. Melihat burung-burung turut sama tawaf di ruangan udara. Ruang yang tiada hijab. Rasulullah SAW ketika berada di antara dua rukun ini iaitu Rukun Yamani dan Rukun Hajar Aswad, Baginda membaca doa:

Ertinya: “Ya Tuhan kami, berilah kami kabaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa api neraka.”

(Surah al-Baqarah, ayat 201)

Air mata mengalir dan terus mengalir. Syukur kerana Allah rezekikan untuk ke RumahNya. Tangan terus dilambai ketika melalui Hijr Ismail dan doa terus menerus dibacakan ketika berada di depan Pintu Kaabah, Multazam.

Ketenangan Masjid Nabawi dan Taman Syurga (Raudah)

Ketenangan di Masjid Nabawi dan Raudah akan menjadi kenangan paling indah buat semua jemaah. Nampak saja Kubah Hijau, hati makin berdebar-debar. Ya Rasulullah, kami datang.

Assalaamu ‘alaika yaa Rasulallah warahmatullahi wa barokaatuh, “Keselamatan atas kamu wahai Rasulullah dan rahmat Allah serta keberkahan-Nya atas kamu.”