Pengalaman kembali ke pejabat sewaktu PKPB

Suasana KL Sentral pra-PKPB © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Pada minggu pertama bulan Mei 2020, kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri telah membuat suatu pengumuman berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP telah ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi beberapa kawasan dan juga sektor industri. Tujuannya bagi membolehkan kelangsungan beberapa sektor industri dan juga merangsang kembali pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum ini, bagi menyahut seruan kerajaan, majikan saya bekerja telah membenarkan para pekerja untuk bekerja dari rumah. Alhamdulillah, walaupun bekerja dari rumah, tetapi hampir semua proses dan kerja berjalan seperti biasa. Malah menurut satu tinjauan yang telah dilakukan oleh pihak syarikat, lebih 70% pekerja berpuas hati dengan proses bekerja dari rumah sepanjang PKP.

Selepas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, pihak syarikat telah memaklumkan kepada pekerja untuk kembali bekerja di pejabat seperti sebelum ini. Walaupun begitu, para pekerja telah diingatkan untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pihak syarikat.

Pihak syarikat telah membahagikan pekerja kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan A dan juga kumpulan B. Kumpulan A perlu kembali bekerja di pejabat terlebih dahulu selama dua minggu sementara kumpulan B bekerja dari rumah. Aturan dan jadual baru ini akan kekal sehingga berakhirnya PKPB. Saya telah dimasukkan dalam kumpulan A dan akan kembali bekerja di pejabat terlebih dahulu.

Para pekerja telah dibekalkan dengan pelan lokasi tempat kerja yang baharu. Tempat kerja telah disusun bagi menjaga jarak sosial yang bersesuaian sepertimana garis panduan yang telah ditetapkan. Pihak syarikat juga telah mengeluarkan surat pengesahan majikan kepada individu yang terbabit bagi memudahkan urusan perjalanan pekerja ke tempat kerja.

Apabila tiba hari pertama untuk kumpulan A kembali ke pejabat, para pekerja dikehendaki mengikuti beberapa garis panduan yang ditetapkan sebelum boleh memulakan tugas. Pertama sekali sewaktu tiba di premis syarikat, suhu badan semua pekerja telah diambil dan dicatatkan. Pemakaian topeng muka juga dimestikan di dalam premis syarikat. Beberapa borang juga perlu diisi sebelum arahan menjalani saringan pantas COVID-19.

Setelah selesai mengisi borang saringan kesihatan dan maklumat peribadi pekerja, pihak petugas kesihatan dan syarikat telah membuat beberapa penerangan ringkas mengenai norma-norma kerja yang baharu. Bermula hari pertama pekerja kembali bertugas di syarikat, semua pekerja perlu menjalani ujian saringan pantas COVID-19 tanpa mengira jawatan yang disandang.

Pihak petugas kesihatan dan syarikat juga telah memaklumkan para pekerja perlu menjalani ujian saringan pantas COVID-19 ini setiap lapan hari bekerja di syarikat. Ujian ini perlu dilakukan sehingga maksimum empat kali. Setelah selesai menjalani ujian saringan COVID-19, para pekerja telah dibenarkan untuk kembali memulakan tugas.

Hari pertama memang masih terasa kekoknya. Setelah hampir dua bulan tidak bersua muka, ramai rakan-rakan pekerja yang terlupa untuk menjaga jarak sosial dan meneruskan urusan kerja seperti sebelum ini. Ada juga yang culas dengan penggunaan topeng muka. Ya, memang tidak selesa untuk mengenakan topeng muka setiap masa.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat majikan yang sangat cakna akan kesihatan pekerja. Setelah seminggu kembali menyambung tugas di pejabat, hampir semua pekerja sudah boleh mengamalkan pelbagai kelaziman baharu di tempat kerja.