Pengalaman Malam Yang Menyeramkan Di ‘Nights of Fright 7’

Jika anda seorang yang gemarkan aktiviti mencabar,menyeronokkan dan luar daripada kebiasaan, anda boleh berkunjung ke Sunway Lagoon sepanjang Oktober hingga awal November ini bagi merasai pengalaman Nights of Fright 7 (NOF7) di taman tema tersebut.

Terkenal sebagai festival paling menyeramkan dan terbesar di Malaysia, NOF7 dihasilkan dan diterbitkan oleh Lynton V Harris dan Sunway Lagoon.

Pada tahun ini, festival itu menampilkan 8 rumah berpuaka, sebuah panggung berpuaka, 2 zon menyeramkan, 11 permainan menyeronokkan dan 2 persembahan pentas.

Anda boleh merasai sendiri pengalaman berhadapan dengan pelbagai jenis ‘hantu’ serta ‘makhluk aneh’ termasuk ikan jerung serta melawan ketakutan, seterusnya memastikan anda kekal ‘terselamat’.

Rasai pengalaman menyeramkan di lapan rumah berpuaka yang terdapat pada NOF7 seperti The Plague, Blood.Shed, Animalium, The Hotel dEVILle, Horrorjuku in UV3D, Horrorwood Studios, Voodoo dan Sharknado Alive! selain menyaksikan tayangan filem pendek berjudul Bomoh dalam panggung berpuaka.

 

Sharknado Alive!

Jika anda pernah menonton filem komedi seram yang berjudul Sharknado, tarikan ini adalah sesuatu yang tidak boleh anda lepaskan. Ini kerana anda berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman berhadapan dengan serangan ‘ikan jerung’ dan melarikan diri daripada mayat-mayat bergelimpangan yang telah dibaham oleh ikan pemangsa tersebut.

The Plague

Plague Doctors kini muncul kembali untuk menakut-nakutkan orang ramai. Adakah karakter aneh yang memakai topeng seakan-akan burung ini boleh dipercayai atau mereka sebenarnya memburu mangsa? Berhati-hati jika terserempak dengan mereka!

 

Animalium

Bayangkan jika mimpi ngeri anda menjadi nyata. Berhadapan dengan haiwan-haiwan yang menjadi zombi dan separa manusia di kawasan yang menyeramkan sememangnya bagaikan mimpi ngeri buat sesiapa sahaja.

 

Blood.Shed.

Masih ingatkah anda pada filem-filem seperti Saw dan Wolf Creek? Filem yang menyeramkan dan mengerikan itu pasti membuatkan mata anda sentiasa tertutup ketika menontonnya, bukan? Jadi, berhati-hati apabila memasuki rumah berpuaka ini kerana mungkin anda akan dikejar oleh sesuatu atau seseorang untuk diseksa dan dibiarkan mati dalam keadaan mengerikan.

 

Hotel dEVILIe

Pernahkah anda bermalam di hotel berhantu? Jika belum, cuba rasai pengalaman memasuki rumah tarikan ini. Meskipun sekadar memasukinya dalam tempoh yang sebentar, pasti akan tidak dapat melupakan perasaan seram dan menakutkan apabila diganggu oleh makhluk-makhluk yang tinggal di hotel terbiar itu.

 

Horrorjuku In UV3D

Horrorjuku In UV3D, pusat fesyen Angoscia – bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan bagi para model, malahan kekacauan dan pembunuhan. Menurut kisah, seorang pereka fesyen dari Itali, Giorgio Angoscia telah berpindah ke Harajuku yang terletak di Tokyo untuk mereka fesyen rekaan gothic yang paling menawan. Namun, satu persatu model yang menggayakan rekaannya hilang dan tidak pernah dijumpai. Jadi, jika anda mahu menyiasat kehilangan para model itu, jangan lupa masuk ke Horrorjuku In UV3D.

 

House Of Voodoo

Menempatkan pelbagai koleksi menyeramkan Marie Laveau. Ia bagaikan sebuah muzium dengan pelbagai peralatan voodoo.

 

Horrorwood Studios

Rasai pengalaman berhadapan dengan pelbagai karakter daripada filem-filem seram popular Hollywood seperti Ghost Face, Freddy, Billy, Jason, Michael, Aliens, Ghostbusters, Pennywise, Annabelle dan Valak.

 

Scarytales Theater

Panggung wayang ini menayangkan filem pendek berjudul Bomoh, namun, secara live di hadapan mata anda sendiri! Pastikan anda kekal duduk di tempat duduk anda, meskipun jika anda ternampak kelibat-kelibat yang melintas, menjalar atau menghampiri anda.

 

Scare Zone

Hadapi ketakutan anda dengan berjalan dan mengambil angin malam di Scare Zone kerana terdapat dua zone menyeramkan yang menanti anda iaitu Slasher Street dan Siren’s Cove.

Jangan tutup mata anda kerana dibimbangi ada yang tiba-tiba muncul secara mengejut di hadapan anda. Anda hanya perlu berjalan terus menuju ke Horrorwood Studios. Oh ya! Hati-hati kerana dengarnya karakter-karakter pembunuh dalam filem-filem seram Hollywood itu dibebaskan dan dibiarkan berkeliaran di sekitar zon tersebut!

 

 

11 Jenis Permainan Menyeronokkan

Jika terasa seperti ingin bermain permainan-permainan pula, terdapat 11 permainan menyeronokkan yang disediakan seperti Carousel, Tomahawk, Apache Pots, Wagon Wheel, Pirate’s Revenge, Lost City of Gold Scream Coaster, Fun Fair, Grand Canyon River Rapids, Butch Cassidy Trail, Vultures dan Colorado Splash.

Jadi, adakah kesemua ini terasa cukup seram untuk anda? Jika tidak, kami cabar anda untuk datang dan rasai sendiri pengalaman menyeramkan di NOF7 untuk menilai adakah anda seorang yang berani atau sebaliknya.

NOF7 kini berlangsung di Sunway Pyramid pada setiap hari Jumaat hingga Ahad, pukul 7.30 malam hingga 11.30 malam dari 4 Oktober hingga 3 November 2019.

Tiket berharga RM79 (kadar normal), RM158 (Express Combo), RM55 (Annual Passport Member’s Deal) dan RM55 (In-Park Guest).

Tiket boleh dibeli di https://sunwaylagoon.com/nof7/ .

Maklumat lanjut boleh didapati di www.sunwaylagoon.com atau www.facebook.com/SunwayLagoonMalaysia.

Foto: Sunway Lagoon