Pengalaman melalui saringan COVID-19

Kehidupan Abi Aasim 29-Ogo-2020
dreamstime_s_181876182
Pengalaman saringan COVID-19 © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Beberapa hari yang lalu, seluruh keluarga saya diserang oleh batuk-batuk dan selsema yang berpanjangan. Selain itu kami juga turut mengalami sakit dada, sakit kepala, sakit tekak dan sengal-sengal di seluruh badan. Bermula dengan isteri yang mengadu sakit kepala dan dada yang berterusan walaupun sudah beberapa kali pergi mendapatkan rawatan di klinik swasta, akhirnya seluruh keluarga turut mengalami batuk-batuk dan selsema.

Bimbang menjadi pembawa kepada virus COVID-19, akhirnya kami mengambil keputusan untuk membuat saringan COVID-19. Sebelum menjalani saringan, saya telah membuat beberapa kaji selidik mengenai tempat dan harga untuk menjalankan saringan COVID-19. Walaupun ada kemudahan kad insurans perubatan, tetapi ianya tidak merangkumi  saringan COVID-19, jadi memang terpaksa membelanjakan wang sendiri bagi saringan ini.

Berdasarkan hasil carian, kos termurah dari pihak swasta yang saya jumpa ialah RM320 untuk satu saringan. Oleh kerana melibatkan ramai ahli keluarga, akhirnya saya cuba menghubungi klinik kesihatan kerajaan bagi mencari alternatif yang kurang membebankan. Pihak klinik telah mengarahkan kami sekeluarga untuk hadir ke klinik bagi menjalani pemeriksaan terlebih dahulu sebelum pemeriksa kesihatan membuat keputusan sama ada perlu melakukan saringan atau tidak.

Pada hari yang ditetapkan, kami sekeluarga telah hadir ke klinik kesihatan. Untuk makluman, bukan semua klinik kesihatan mempunyai fasiliti untuk membuat saringan COVID-19 ini, jadi sila hubungi klinik kesihatan  terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut. Setibanya di klinik, kami membuat pendaftaran dan suhu diambil bagi untuk direkodkan.

Pihak klinik telah menyediakan satu kawasan khas bagi pemeriksaan mereka yang mempunyai masalah jangkitan di saluran pernafasan atas (URTI). Selesai giliran, saya dan keluarga telah diperiksa oleh pegawai perubatan yang bertugas. Dari pemerhatian, terlihat semua petugas yang bekerja di bahagian tersebut mengenakan pakaian perlindungan peribadi (PPE) semasa melayani pesakit.

Setelah pemeriksaan, hanya saya dan isteri yang perlu menjalani saringan COVID-19.Mungkin kerana hanya saya dan isteri yang mempunyai gejala berkaitan COVID-19.  Anak-anak kami hanya diberikan ubat-ubatan bagi membantu mengatasi masalah batuk dan selsema.

Pada masa yang ditetapkan, saya dan isteri telah pergi menjalani saringan COVID-19 yang diminta. Pihak klinik telah menyediakan satu kawasan khas untuk proses saringan dijalankan. Setelah selesai proses saringan, petugas perubatan memaklumkan bahawa pihak pejabat kesihatan akan menghubungi kami dalam tempoh masa 48 jam untuk berkongsikan hasil keputusan saringan COVID-19.

Alhamdulillah dalam masa dua hari kami telah dihubungi pihak pejabat kesihatan daerah dan hasil keputusan saringan adalah negatif. Syukur yang kami suami isteri bebas dari virus COVID-19 buat masa ini. Bagi yang mempunyai gejala adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan daripada klinik dan hospital berhampiran. Bukan apa bimbang nanti kita menjadi pembawa dan mungkin menyebarkan virus ini tanpa sedar kepada orang lain.

Pengalaman menjalani saringan COVID-19 ini adalah suatu perkara baharu buat saya dan keluarga. Pada mulanya agak risau juga. Namun, alhamdulillah apabila hasil saringan dikeluarkan, baru boleh menjadi tenang kembali.

Tahniah juga saya ucapkan kepada petugas klinik kesihatan dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia yang sememangnya menjalankan satu tugas yang sangat hebat dalam menangani wabak COVID-19 di Malaysia. Malah sistem kesihatan yang ada di Malaysia ini memang sangat membantu rakyat. Kami sekeluarga hanya perlu mengeluarkan RM1 sahaja setiap seorang untuk semua kos yang terlibat.

Terima kasih Malaysia.