Pengalaman menyambut Aildilfitri dalam PKPB

Islam 26 Mei 2020 Chan Abdullah
Aidilfitri gaya PKPB © Odua | Dreamstime.com

Pengalaman menyambut Aildilfitri ini adalah sesuatu yang cukup unik dan berlainan daripada yang biasa dilalui sebelum ini. Buat keluarga besar saya sendiri, Aildilfitri kali ini cukup terasa sunyi kerana tidak dapat menyambutnya bersama ibu, ayah dan adik beradik yang lain. Tambahan pula kehilangan abang sulung pada hujung tahun 2019 setelah dijemput Ilahi, menambahkan lagi kesedihan kami sekeluarga.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang telah diumumkan kerajaan telah masuk hari ke 21 pada tanggal 1 Syawal.  Pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sewaktu PKP dan hanya pergerakan merentas daerah sahaja dibenarkan. Selain itu ziarah hari raya yang dibenarkan juga perlu mematuhi syarat-syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi saya sendiri, walaupun tinggal di satu negeri yang sama dengan ibu bapa, saya mengambil keputusan menyambut hari raya di rumah sendiri. Ini kerana dua minggu sebelum Hari Raya Aildilfitri, saya telah kembali bertugas di pejabat atas arahan pihak majikan. Walaupun sudah menjalani dua saringan untuk mengesan COVID-19 dan didapati negatif, tetapi rasanya Syawal kali ini lebih baik disambut bersama keluarga terdekat di rumah sendiri sahaja. Saya masih risau berisiko menjadi agen penularan Covid-19 di kampung tempat ayah dan ibu tinggal.

Bagi mengeratkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan, kami sekeluarga bertanya khabar melalui aplikasi Whatsapp, panggilan video dan juga telefon. Pada malam sebelum hari raya, kami adik beradik sepakat untuk membuat panggilan video keluarga bagi menyambut hari raya pada hari raya pertama.

Satu lagi pengalaman manis untuk saya dan kaum bapa yang lain pastinya apabila perlu menjadi imam interim bagi solat tarawih dan solat sunat Aildilfitri di rumah. Agak janggal rasanya untuk mengimamkan solat sunat Aildilfitri dan membaca khutbah kerana biasanya hanya menjadi makmum sahaja. Walaupun begitu, sebagai ketua keluarga tanggungjawab ini perlulah digalas agar dapat menjadi tauladan yang baik kepada anak-anak.

Selesai menunaikan solat sunat Aildilfitri, kami mengambil peluang bergambar bersama-sama satu keluarga. Tiada kunjung mengunjung ke rumah jiran berdekatan. Namun di kejiranan tempat tinggal saya, kami mengambil peluang untuk bertukar-tukar juadah raya seperti lemang, rendang dan kuih raya.

Setelah tiba masanya, kami sekeluarga melakukan panggilan video bersama keluarga. Terubatlah sedikit kerinduan melihat wajah adik beradik, anak-anak saudara dan juga ibu dan ayah. Kami mengambil peluang untuk bermaafan dan beramah mesra.

Seperti yang telah dicadangkan oleh kakak saya, kami telah menggunakan aplikasi Google Meet. Aplikasi ini adalah percuma. Anda boleh menggunakan aplikasi ini sama ada di komputer/komputer riba mahupun telefon pintar. Bagi pengguna telefon pintar, anda perlu muat turun aplikasi ini terlebih dahulu. Bagi pengguna komputer/komputer riba, anda hanya perlu mempunyai akaun Gmail sahaja untuk menggunakan aplikasi panggilan video ini.

Alhamdulillah, dengan adanya kemajuan teknologi, terubatlah sedikit perasaan sedih dan kecewa tak dapat beraya bersama keluarga. Setelah berbulan lamanya petugas barisan hadapan berkorban berjuang membantu melawan COVID-19, tibalah masanya rakyat Malaysia yang lain juga turut berkorban sementara di hari raya ini. Patuhi arahan dan garis panduan yang ditetapkan sewaktu sambutan hari raya.