Pengasas Cap Kipas Udang meninggal dunia

Makanan Syed Safri 13-Mei-2020
Ibu pejabat Zara Foodstuff Industries © facebook.com/habhalscapkipasudang

Dato’ Haji Lambak bin Mohamed, pengasas jenama barangan runcit dan makanan tersohor, Cap Kipas Udang (Habhal’s) telah meninggal dunia semalam di Larkin, Johor. Allahyarham Haji Lambak yang berumur 100 tahun telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kebun Teh.

Menurut cucu allahyarham Haji Lambak, Amiza Abdul Aziz, beliau tidak menunjukkan komplikasi penyakit dan berada dalam keadaan sihat sebelum meninggal dunia. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rogayah Jusoh, 94, dan 12 orang anak.

Bagi mereka yang tidak tahu, allahyarham Haji Lambak telah mengasaskan Zara Foodstuff Industries Sdn. Bhd. yang mula beroperasi di Johor sejak tahun 1987. Salah satu produk yang tidak asing lagi keluaran syarikat ini adalah kicap jenama Cap Kicap Udang, yang juga dikenali sebagai kicap Habhal’s.

Sehingga kini, produk-produk kicap, sos dan seri kaya buatan Zara Foodstuff Industries tetap menjadi pilihan popular bagi hampir setiap isi rumah di Malaysia. Produk-produk ini juga boleh didapati di pasaran antarabangsa seperti di United Kingdom.

Semoga roh allahyarham Dato’ Haji Lambak bin Mohamed dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.