Pengembaraan Ibnu Fadlan ke negara Khazar

Dunia 03 Dis 2020 Zalika Adam
Zalika Adam
Pengembaraan Ibnu Fadlan ke negara Khazar
Pengembaraan Ibnu Fadlan ke negara Khazar © alrahalah.com

Pengembaraan Ibnu Fadlan ke negara Khazar – Ahmad bin Fadlan atau Ibnu Fadlan telah mengembara atas perintah khalifah Abbasiyah al-Muqtadir Billah. Tujuannya adalah untuk pergi ke Raja Saqqalbah. Ketika dalam perjalanan pulang, beliau lalu di beberapa buah negara, iaitu Rusia, Khazar atau negara Turki lama.

Lantas, beliau menggambarkan negara-negara itu dan menulis pengembaraan beliau dengan tepat tentang setiap tahap perjalanannya. Kemudian, setelah kembali beliau menyampaikannya kepada khalifah. Penulisan ini adalah berkisar keterangannya mengenai negara-negara Khazar, raja mereka, dan keadaan dalam negeri mereka pada era itu.

Pengembaraan Ibnu Fadlan ke negara Khazar

Ibnu Fadlan menggambarkan Raja Khazar sebagai  ‘bersembunyi’ dari rakyatnya, dengan mengatakan: “Adapun Raja Khazar namanya ialah Khaqan. Baginda hanya muncul sebagai pejalan kaki setiap empat bulan, dan dia disebut sebagai Khaqan Agung.” Peranan Khaqan Agung bersifat sakral (berkaitan keagamaan dan upacara suci). Peranan baginda kurang mementingkan urusan harian dalam struktur pemerintahan raja berganda kerajaan Khazar.

Penggantinya yang memegang peranan raja pula hanya digelar Khaqan. Gelaran ini diberikan kerana Khaqan memimpin pasukan tentera, menasihati dan memimpin kerajaan. Setiap hari beliau menemui Khaqan Agung dengan hormat dan rendah diri, menunjukkan ketaatan dan ketenangan. Beliau tidak masuk menemuinya kecuali berkaki ayam dengan kayu api di tangan.

Bila Khaqan memberi salam, beliau membakar kayu di tangannya. Bila beliau kehabisan bahan bakar, beliau duduk bersama-sama raja di tempat tidurnya di sebelah kanan, dan di belakangnya seorang lelaki yang dipanggil  Kunder Khaqan.

Huraian ini menunjukkan susunan kedudukan di Kerajaan Khazar. Khaqan Agung adalah seorang raja. Selepas Khaqan Agung ialah Khaqan (umpama raja yang lebih rendah). Khaqan iaitu seorang khalifah yang memimpin tentera dan menjalankan perintah kerajaan. Beliau memiliki kuasa sebenar di negara Khazar. Tetapi Khaqan tetap berada di bawah dan taat kepada Khaqan Agung.

Beberapa ritual pelik Raja Khazar

Ahli majlis kerajaan masuk mengadap Khaqan Agung tanpa alas kaki untuk membuktikan kesetiaan, dan memegang di tangan mereka kayu-kayu api. Antara  perkara yang pelik ialah Raja Agung menetapkan dirinya untuk tidak duduk bersama orang dan tidak berbicara dengan mereka. Tidak ada orang yang bertemu baginda kecuali hanya beberapa orang sahaja. Khaqan adalah orang yang bertanggung jawab dalam semua perkara dan menggantikannya dalam segala hal.

Di antara ritual aneh yang dibicarakan oleh Ibnu Fadlan tentang Khaqan Agung, iaitu raja yang agung ialah: “Sekiranya raja terhebat mangkat (pengkebumian diraja), Khaqan harus membina untuk baginda sebuah rumah besar yang berisi dua puluh buah bilik. Setiap bilik digali satu kubur dan dipecahkan batu-batu itu hingga menjadi serbuk hitam (celak) dan ditaburkan di dalamnya, di atas dan di bawah rumah (iaitu sungai).”

Pada sungai besar yang mengalir itu mereka sembunyikan lokasi kubur, sambil berkata: “Sehingga tidak ada syaitan, manusia, ulat, atau hantu yang akan mencapainya. Bila baginda dikebumikan, leher orang-orang yang menguburkannya akan dipukul (dibunuh) sehingga tidak diketahui di mana lokasi kubur dalam bilik-bilik tersebut, dan kubur yang dibina berstruktur indah itu disebut sebagai Syurga.” Mereka berkata: “Baginda telah memasuki Syurga dan semua rumah ditutup dengan kain sutera yang ditenun dengan emas.”

Di antara ritual yang aneh juga tentang Raja Khazar ialah baginda mempunyai dua puluh lima wanita, yang masing-masing adalah puteri raja yang berada di sebelahnya, yang mana dibawanya secara rela atau paksaan. Baginda mempunyai 60 tilam dan katil yang cantik, setiap satunya diperbuat daripada sutera.

Perjalanan Ibnu Fadlan dan penghujungnya

Apabila Raja Khazar menunggang kuda, semua pasukan tenteranya turut menunggang tetapi  berada satu batu antara mereka dan baginda. Ini adalah supaya tidak ada seorang pun daripada mereka yang akan melihat Baginda. Kecuali bila seseorang menundukkan muka dan sujud kepada Baginda, dan dia tidak boleh mengangkat kepalanya sehingga baginda mengizinkannya.

Raja Khazar memiliki kota besar di sungai yang disebut Itl. Itl mempunyai dua sisi atau golongan: “Satu sisi orang Islam dan di sisi lain raja dan para sahabatnya. Pada sisi orang Islam seorang lelaki dari hamba raja disebut Khaz dan dia adalah seorang Muslim.”

Manakala, peraturan orang Islam yang tinggal di negara Khazar ialah seorang Muslim tidak berurusan dan tidak berbelanja dengan golongan raja dan sahabatnya.

Ini adalah beberapa keterangan penting yang diberikan oleh Ibnu Fadlan mengenai Raja Khazar dan kerajaannya dalam Kitab Rehlah Ibn Fadhlan ila Bilad Atturk, wa al-Ros, wa as-Saqolibah, karya Ahmad bin Fadlan bin Abbas bin Rashid.