Penghasilan vaksin penyakit dan sarjana Islam

Dunia Hanita Hassan 29-Mei-2020
Vaksin mencegah wabak penyakit © Tennesseewitney | Dreamstime.com

Usaha untuk menghasilkan  vaksin COVID-19  iaitu vaksin terhadap penyakit koronavirus baru 2019 (COVID-19) sedang giat dilakukan oleh negara-negara maju.  Selain China dan Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom juga sedang berusaha ke arah itu.

Sehingga kini, terdapat lebih 100 projek pembangunan vaksin yang sedang dilakukan di seluruh dunia.  Walau bagaimanapun, tiada vaksin yang telah selesai ujian klinikal setakat ini.

Menjelang September ini, sekiranya pasukan dari Universiti Oxford berjaya menghasilkan vaksin COVID-19,  dijangka sebanyak 100 juta dos vaksin COVID-19 akan dihasilkan dengan 30 juta dos pertama akan diperuntukkan kepada United Kingdom.

Kita turut berbangga dengan pelatih pakar bedah Kolej Imperial London, Dr. Nur Amalina Che Bakri, iaitu rakyat Malaysia yang terbabit dalam kajian keberkesanan vaksin COVID-19 terhadap manusia sihat di United Kingdom itu.

Vaksin mengandungi bahan aktif yang dipanggil antigen.  Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian daripada struktur bakteria.

Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant (bahan pembantu) dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin.

Sarjana Islam pertama yang memberi takrifan dan membentangkan konsep jangkitan oleh kuman (virus) adalah Abu Bakar Muhammad Ibn Zakariyya Al-Razi atau dikenali sebagai Rhazes di Barat (865-930 Masihi).  Beliau memberikan perbezaan di antara penyakit cacar air (small pox) dan campak (measles). Terdapat suatu agen yang menyebabkan jangkitan penyakit dan seseorang yang pernah mendapat penyakit cacar air tidak akan terkena sekali lagi.

Ulama dan sarjana perubatan terkenal Ibn Sina (980 – 1037 Masihi) yang dikenali di Eropah sebagai Avicenna juga menyatakan jika pesakit cacar air ini perlu diasingkan, maka jangkitan tidak akan berlaku kepada orang lain. Kedua-dua tokoh ini adalah antara orang yang terawal menyatakan konsep jangkitan kuman dan asas kepada vaksinasi.

Konsep ini kemudian dikembangkan oleh Edward Jenner, saintis barat pada tahun 1796.  Buat pertama kalinya, beliau  berjaya membuat vaksin untuk cacar air dengan mengambil cairan yang keluar daripada cacar lembu (cow pox) dan diinokulasi (disuntik) pada kulit manusia. Hasilnya mereka yang menjalani proses itu tidak dijangkiti cacar air ini yang telah menyebabkan 300 hingga 500 juta kematian sebelum vaksin dicipta.

Banyak vaksin yang telah dihasilkan sejak 200 tahun lalu telah berjaya mencegah wabak-wabak penyakit merbahaya. Selain cacar air dan campak, ini termasuk polio, kancing gigi (tetanus), beguk (mumps), rubella, hepatitis B, batuk kering (tuberculosis), batuk kokol (pertussis), kepialu (typhoid), jangkitan selaput otak (meningitis) dan pelbagai lagi penyakit yang makin jarang berlaku sekarang.