Penghayatan di sebalik dua ucapan hari raya

Acara Aimy Azhary
Aimy Azhary
Penghayatan di sebalik dua ucapan hari raya
Penghayatan di sebalik dua ucapan hari raya © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Masyarakat Islam sudah pastinya biasa dengan beberapa ucapan Hari Raya setiap kali Syawal tiba. Dua ucapan hari raya yang dimaksudkan itu, bahkan sunat diucapkan ialah:

  • اللّهُ أَكْبَر  (Allah Maha Besar)

Iaitu takbir mutlak/mursal (termasuk versi panjang) yang tidak terikat dengan waktu solat bermula malam 1 Syawal sehingga sebelum solat hari raya.

  • تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  (Semoga Allah menerima amalan kita)

Iaitu ucapan berunsurkan doa yang disebutkan ketika bertemu antara satu sama lain.

Ucapan hari raya dengan semarak takbir

Firman Allah SWT:

 “Dan supaya kamu bertakbir kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Dalam ayat ini, Allah Taala mensyariatkan kita supaya menyemarakkan takbir sebagai tanda kesyukuran. Syukur sebenarnya sinonim dengan sabar, kerana tanda seorang itu benar-benar bersyukur adalah kekuatannya untuk bersabar, mengawal emosi dan kekal waras ketika diuji.

Keseimbangan ini hanya ada pada orang yang benar-benar beriman sehingga Nabi Muhammad SAW meluahkan rasa kagum dan takjub baginda di hadapan para sahabat r.a.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sungguh ajaib orang beriman! Setiap urusan baginya adalah kebaikan (tiada langsung keburukan) dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang beriman.”

(Hadis riwayat Muslim)

Sekiranya dikurniakan dengan sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur, itulah kebaikan baginya.  Dan apabila ditimpa kesusahan,dia bersabar, maka itu (juga) adalah kebaikan baginya.

Ramadan adalah bulan yang menggabungkan konsep sabar dan syukur. Sabar itu teraplikasi kerana puasa Ramadan menuntun manusia supaya menahan nafsu. Di samping menahan lapar dan dahaga, Rasulullah SAW menyuruh kita supaya membantutkan kemarahan ketika berpuasa dengan mengatakan ‘Inni So’im’ (Sesungguhnya aku sedang berpuasa).

Syukur pula adalah kerana limpahan rahmat yang Allah SWT curahkan sepanjang bulan tersebut, dengan ganjaran-ganjaran yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.

Bahkan lebih mengujakan, turunnya wahyu Allah Taala pada bulan ini sebagai panduan sejagat yang sempurna untuk mendapatkan ketenteraman jiwa dan kehidupan yang hakiki.

Berdoa supaya amalan diterima

Tiadalah yang lebih didambakan oleh seseorang mukmin, melainkan pengampunan dan amalannya diterima di sisi Allah. Di sebalik banyaknya hadis-hadis tabsyir (khabar gembira) tentang bulan Ramadan seperti pintu syurga Ar-Rayyan, syaitan diikat dan sebagainya, terdapat beberapa sahaja hadis yang berunsurkan inzar (ancaman).

Antaranya sabda Nabi Muhammad SAW:

“Celakalah seseorang itu yang masuk dalam bulan Ramadan, kemudian keluar darinya dalam keadaan tidak mendapat keampunan daripada Allah.”

(Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini cukup menggusarkan jiwa dan menyempitkan dada, apabila diteliti dengan penuh keimanan. Apatah lagi apabila mengenangkan kesombongan bani Israel yang Allah SWT hinakan apabila memandang remeh akan pengampunan Allah.

Allah Taala berfirman kepada mereka setelah mendapat kemenangan memasuki Baitul Maqdis:

“Katakanlah: Ya Allah ampunilah dosa kami, supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu.”

(Quran surah Al-Baqarah, ayat 58)

Ketika itu, Bani Israel dengan biadapnya membalas suruhan Allah Taala  itu dengan menukar kalimah (حِطَّةٌ- pengampunan) kepada (حِنْطَةٌ-gandum), kerana mereka mendambakan keuntungan materialisma lebih daripada segalanya.

Ini merupakan simptom kepada obsesi mereka terhadap kebendaan dan kesenangan dunia. Sedangkan bagi orang beriman, keredaan Allah SWT adalah segalanya, dan itulah kunci utama kepada kesenangan hidup dunia dan akhirat.

Nabi Muhammad SAW mengibaratkan:

“Siapa yang menjadikan akhirat sebagai obsesi hidupnya, maka Allah akan menjadikan kekayaan berada di dalam hatinya, menyatukan urusannya, dan dunia akan datang dalam keadaan tunduk kepadanya.”

(Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Semoga Syawal kali ini dirai dengan penuh rasa kehambaan, di samping ujian pandemik yang berlaku memaksa kita untuk insaf dan bersederhana, setelah puluhan tahun kita melampaui batas ketika menyambutnya.