Pengumpul £30 juta dana NHS, Tom Moore sambut hari jadi ke-100

Dunia Adea Ghafar 30-Apr-2020
Kapten Tom Moore © www.justgiving.com/fundraising/tomswalkforthenhs

Hari penting veteran perang Kapten Tom Moore telah disambut dengan terbang lintas hormat RAF, di atas rumahnya di Bedfordshire, England. Beliau juga telah dianugerahkan dengan kenaikan pangkat ke kolonel kehormat.

Pesawat Tentera Udara Diraja terbang melewati kediaman veteran tentera tersebut bagi menyambut ulang tahun hari jadinya yang ke-100, berikutan tersebarnya wabak penyakit koronavirus baru COVID-19.

Tom Moore, kapten veteran Perang Dunia Kedua itu telah dinaikkan pangkat sebagai kolonel kehormat pada hari ulang tahunnya yang ke-100, apabila telah sah bahawa dia berjaya mengumpulkan lebih dari £30 juta untuk badan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain.

Warga emas itu pada mulanya hanya bercadang untuk mengumpulkan £1,000 dengan berjalan selama 100 pusingan di sekitar luar rumahnya, tetapi sumbangan telah dibanjiri dan menjadi luar jangkaan apabila ceritanya menawan hati rakyat.

Sebagai penghargaan atas pencapaiannya yang amat hebat itu, beliau telah dianugerahkan pangkat kolonel kehormat bagi Army Foundation College, yang juga telah dipersetujui oleh Ratu Britain. Kapten Moore turut dibanjiri dengan lebih daripada 140,000 kad ucapan selamat yang dipamerkan di sekolah cucunya.

Di antara yang mengucapkan selamat hari jadi dan tahniah atas pencapaiannya adalah Prince of Wales dan Duchess of Cornwall, juga Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang telah mengirim pesan ulang tahun kepadanya, dengan mengatakan beliau selaku wakil seluruh negara mengucapkan selamat ulang tahun ke-100 kepadanya.

Selain itu, Tom juga telah diberi penghormatan dengan cap pos Royal Mail, dengan semua pos yang dicap sehingga hari Jumaat akan ditandakan dengan ‘Selamat Hari Jadi ke-100 Kapten Thomas Moore hero pengumpul dana NHS 30 April 2020.’

Warga emas itu akan menghabiskan hari istimewanya di rumah bersama anak perempuannya Hannah Ingram-Moore dan keluarganya. Beliau berkata, mencapai umur 100 tahun terasa amat luar biasa. Lebih-lebih lagi apabila mendapat ribuan ucapan selamat dan respons kerana berjalan kaki untuk mengumpulkan dana buat NHS.

Tom mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menderma dan mengirim kad ucapan selamat hari jadi. Beliau mengingatkan semua agar terus tinggal di rumah dengan selamat dan berharap semoga hari esok adalah lebih baik.