Pengurusan kewangan dalam kehidupan kita

Kehidupan Hanita Hassan 10-Sep-2020
dreamstime_s_34631741
Pengurusan kewangan dalam kehidupan © Dwayne Foong | Dreamstime.com

Pengurusan dan perancangan kewangan penting dalam semua urusan kehidupan. Ia kerana pengurusan kewangan yang teratur boleh membantu kehidupan kita menjadi lebih tenang, tenteram dan tersusun.  Sudah tentu untuk mahir mengurus kewangan kita memerlukan ilmu supaya faham dan dapat mengimbangi di antara keperluan dan keinginan selain belajar daripada  pengalaman kegagalan yang lalu.

Islam meletakkan kepentingan menjaga dan mengurus kewangan dengan baik. Islam juga menggalakkan umatnya agar menghasil, mengembang dan menggunakan harta dengan bijaksana serta tersusun.  Justeru pendedahan dalam ilmu berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan keluarga berlandaskan syariah penting supaya kita dapat mengaplikasi dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Hai orang-orang beriman, apabila dikatakan kepadamu:  “Berlapang-lapanglah dalam majlis,”  maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu.  Dan apabila dikatakan:  “Berdirilah kamu,”  maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.  Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”  (Surah al-Mujadilah, ayat 11)

Setiap daripada kita perlu menetapkan matlamat dalam kewangan masing-masing.  Ia penting untuk mewujudkan aliran kewangan yang teratur serta tidak mengganggu sumber kewangan sedia ada selain mengelak berlakunya pembaziran.

Kita boleh mendapatkan bantuan pengurusan kewangan daripada badan-badan serta organisasi seperti Unit Khidmat Nasihat Bank Negara   serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Insolvensi Malaysia. Nasihat serta saranan pakar perlu supaya meningkatkan pengetahuan kita terhadap pengurusan kewangan sekali gus dapat membantu kita menguruskan kewangan peribadi dengan lebih baik.

Penyebaran wabak COVID-19 yang berlaku seawal tahun 2020 telah sedikit sebanyak mengganggu pengurusan kewangan kebanyakan daripada kita.  Ramai yang terjejas pendapatan terutama yang bekerja dan terlibat dalam sektor perkhidmatan terutama industri berkaitan pelancongan, penginapan, perancangan acara, kesenian dan hiburan, aktiviti sukan dan rekreasi serta perkhidmatan lain.

Sehingga Mei 2020, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3% iaitu mencatat 826,100 penganggur berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Walau bagaimanapun, peningkatan jumlah pengangguran pada Mei 2020 adalah lebih rendah berbanding Mac hingga April iaitu sejumlah 168,300 orang. Ia juga berkemungkinan disebabkan pakej-pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersyarat pada bulan berkenaan.

Suasana suram ini bukan sahaja berlaku kepada rakyat di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.  Kita perlu mengharungi cabaran ini tanpa keluh kesah kerana di sebalik apa yang berlaku pasti akan hikmahnya.  Kita perlu meneruskan kehidupan dan tidak berputus asa.  Kita urus hutang seperti pembiayaan perumahan dan kenderaan serta berazam melunaskannya supaya tidak menjadi beban.

Bagi yang berharta, janganlah disimpan sahaja tetapi kembangkan harta sedia ada melalui kaedah seperti pelaburan patuh syariah dan sebagainya. Kita juga perlu mendidik keluarga terutama anak-anak dalam ilmu pengurusan kewangan supaya mereka berbelanja secara berhemah.  Seperti kata pepatah, ukur baju di badan sendiri.

Sesungguhnya mengurus dan membelanjakan harta adalah amanah Allah SWT.  Ia adalah satu keperluan dalam mencapai kehidupan yang berkat di dunia dan di Akhirat.